Thailand Mula Terima Pelancong Mulai Isnin Ini
1 min read
Negara jiran, Thailand sekarang sudah bersiap sedia untuk membuka semula pintu sempadannya kepada pelancong yang lengkap vaksinasi bermula Isnin ini.
Thailand sebelum ini sudah melaksanakan sekatan perjalanan selama 18 bulan kerana penularan wabak COVID-19.
Wabak berkenaan menyebabkan jumlah pelancong merosot daripada 40 juta orang pada tahun 2019 kepada hanya 73,000 orang sepanjang tempoh lapan bulan pertama tahun ini.
Pihak berkuasa berusaha memulihkan sektor itu – yang menyumbang satu per lima daripada ekonomi – meskipun Thailand masih merekodkan angka harian kira-kira 10,000 jangkitan COVID-19 serta kadar vaksinasi kira-kira 40 peratus.
Justeru, kerajaan berharap perancangan untuk membatalkan peraturan kuarantin yang ketat, dapat menarik kehadiran pelancong walaupun virus itu masih menular.
“Kami menjangkakan industri pelancongan akan kembali pulih ke paras normal sekitar pertengahan tahun depan,” kata jurucakap Pentadbiran Metropolitan Bangkok, Pongsakorn Kwanmuang.
Pihak berkuasa memaklumkan, Thailand menjangka sekurang-kurang sejuta pelancong berkunjung ke negara ini menjelang Mac tahun depan, dan menjana pendapatan kira-kira AS$30 bilion sepanjang 2022.
Sebelum ini Perdana Menteri, Prayut Chan-O-Cha, mengumumkan pelan berfasa untuk pembukaan semula Thailand.
Bermula 1 November ini, pelancong lengkap vaksinasi dari lebih 40 negara ‘berisiko rendah’, dibenarkan memasuki Thailand dengan keputusan negatif COVID-19, namun akan menjalani saringan sekali lagi sebaik saja tiba.
Senarai terbabit meliputi sejumlah negara Eropah, China dan Amerika Syarikat (AS).
Peringkat kedua pembukaan semula dijadualkan pada 1 Disember depan pula ialah untuk menamatkan larangan minuman keras di bar dan restoran yang dikenakan sejak tujuh bulan lalu. – AFP