KPKT Wujudkan War Room Cari Jalan Selesaikan Isu Projek Perumahan “Sakit”
2 min read
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan melihat semua isu perumahan secara menyeluruh melalui sebuah “War Room Perumahan”, seperti yang dinyatakan oleh Menterinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di Parlimen pada 6 Oktober lalu.
Beliau berkata kementerian akan melihat semua projek perumahan sama ada yang dibina oleh pemaju swasta atau projek di bawah seliaan KPKT seperti PR1MA, Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
“Pertamanya; war room ini mengambil pendekatan address the elephant in the room. Apa jua isu berkait dengan perumahan ini yang menyebabkan ia sakit, lewat atau terbengkalai; war room ini harus terbuka dan transparent.
“Keduanya; war room ini perlu mencari pendekatan yang lebih fokus, lebih strategik dan akan memberi impak positif dalam membela pembeli.
“Ketiganya; war room juga perlu melihat dan mencadangkan tindakan penguatkuasaan sewajarnya diambil terhadap pemaju-pemaju yang bertanggungjawab selain pendekatan rundingan dan mudahcara,” katanya dalam satu posting di media sosial Facebooknya.
Beliau berkata satu tanda aras melalui Indeks Prestasi Utama (KPI) dan garis masa kepada semua projek yang diklasifikasikan sebagai sakit untuk diselesaikan.
“Ada yang sebenarnya sudah berada di tahap hampir siap atau hampir boleh dipulihkan dan hanya perlukan sedikit push sahaja untuk memberi kelegaan kepada Keluarga Malaysia yang terkesan.
“Saya faham ramai yang terkesan, ada yang terpaksa membayar pinjaman bank berpanjangan tetapi rumah masih belum boleh didiami atau ada yang terpaksa menumpang di rumah saudara mara dan semua ini merupakan keresahan rakyat yang perlu diberi perhatian sewajarnya,” katanya.
Reezal Merican menegaskan bahawa rakyat sentiasa ingin melihat kerajaan menjalankan tanggungjawab memberikan perkhidmatan kepada rakyat dan KPKT mesti melaksanakan amanah itu dalam soal perumahan.
“Saya juga akan kongsi hasil “berperang” di war room ini kepada 41 Ahli Parlimen yang terdapat projek-projek sakit PR1MA, PPAM dan SPNB di kawasan masing-masing, tidak kira sama ada dari Blok Kerajaan mahupun Blok Pembangkang.
“Ini komitmen pasukan KPKT dan saya sendiri untuk memastikan keresahan rakyat dirawat dan diberi jalan penyelesaian,” katanya.
Ketika berucap di Dewan Rakyat, beliau memaklumkan pihak KPKT telah menyenaraikan 17 projek perumahan yang sakit dan ia akan diberikan perhatian serius oleh kementerian untuk diselesaikan melalui War Room ini. – SEPATAH DUA