December 9, 2023

Masalah Projek Perumahan Taman Selayang Mutiara Yang Terbengkalai Akan Dipulihkan – Reezal Merican

2 min read

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican ketika meninjau projek perumahan yang terbengkalai di Taman Selayang Mutiara, Batu Caves, Selangor pada 28 Oktober lepas. Foto Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

 

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mula mendapatkan kerjasama dari pelbagai pihak untuk memastikan projek perumahan terbengkalai di Taman Selayang Mutiara, Batu Caves, Selangor dapat dipulihkan.

Menterinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pada 28 Oktober lepas melakukan Tinjauan Mesra Keluarga Malaysia ke projek berkenaan disertai Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Keusahawanan Selangor, Rodziah Ismail, Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Abdul Shukor Idrus dan pimpinan UMNO Bahagian Selayang.

Beliau berkata lawatan itu merupakan sebahagian usaha KPKT untuk memberi nafas baharu kepada Keluarga Malaysia yang terkesan akibat daripada masalah yang dihadapi projek seperti ini.

“Projek Taman Selayang Mutiara ini telah tergendala sejak 15 tahun lalu dan pihak KPKT telah mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak bagi memastikan ia dapat dipulihkan.

“Saya tahu ramai yang terkesan apabila rumah yang diidamkan sehingga kini masih belum dapat dihuni. Sempat juga bertemu Puan Sarimah Salleh dan Encik Azam Arifin, antara pembeli Blok Kristal di sini.

“Jelas kelihatan rasa gembira di wajah mereka. Kontraktor penyelamat diberi tempoh sehingga Jun 2024 untuk menyiapkan kerja-kerja pemulihan berkaitan,” kata Reezal Merican.

Beliau turut memaklumkan bahawa melalui War Room yang saya perkenalkan di KPKT, pihak kementerian akan terus memantau perkembangan dan mencari jalan penyelesaian kepada semua isu berbangkit.

Katanya, apa yang penting adalah kesejahteraan Keluarga Malaysia sentiasa diberikan keutamaan.

Reezal Merican berkata beliau akan menekankan soal tanggungjawab pemaju dalam amanah melaksanakan semua projek lebih-lebih lagi perumahan untuk rakyat.

“Ini penting bagi memastikan setiap usaha yang kita lakukan, memberi impak positif kepada Keluarga Malaysia.

“Ini semua komitmen pasukan KPKT dan saya sendiri. Kita akan laksanakan sebaiknya untuk Keluarga Malaysia,” katanya.

KPKT telah menyenaraikan kira-kira 17 projek yang mengalami masalah dan dikategorikan sebagai sakit serta perlu dipulihkan. Semua masalah berkaitan projek ini akan diselesaikan melalui fungsi War Room yang ditubuhkan. – SEPATAH DUA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *