November 26, 2021

SepatahDua.My

"KITA SAMA-SAMA MENANG LAWAN COVID-19"

Semua 18 Tertuduh Kes Pembunuhan Zulfarhan Didapati Bersalah

2 min read

Kesemua 18 orang penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) didapati bersalah atas pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh, dan mencederakan Pegawai Kadet Laut UPNM Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah ketika membacakan keputusan itu pada Selasa berkata, enam tertuduh didapati bersalah di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan bersubahat membunuh arwah.

Manakala 12 yang lain didapati bersalah di bawah Seksyen 330 Kanun Keseksaan kerana mencederakan Allahyarham.

Ketika ini mahkamah berehat sebentar dan Hakim akan mengumumkan hukuman dikenakan kepada semua tertuduh selepas mahkamah bersidang semula.

Pada 8 April lepas, pembelaan menutup kesnya selepas memanggil 18 penuntut UPNM dan dua saksi lain iaitu Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh Dr Rohayu Shahar Adnan dan penuntut UPNM Muhammad Alif Farhan Aerosni pada prosiding membela diri yang bermula 2 Okt 2019.

Pendakwaan telah mengemukakan 31 orang saksi termasuk Pakar Perubatan Forensik Hospital Serdang Dr Salmah Arshad serta dua saksi yang melihat perbuatan menekap seterika wap ke badan mangsa iaitu Ahmad Senabil Mohd dan Mohd Syafiq Abdullah, kedua-duanya penuntut UPNM, pada perbicaraan yang bermula 29 Jan 2018.

Kes itu dikendalikan Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Datin Kalmizah Salleh bersama Timbalan Pendakwa Raya N. Joy Jothi manakala barisan peguam yang mewakili tertuduh ialah Datuk Ranjit Singh Dhillon, Amer Hamzah Arshad, Datuk Hazman Ahmad, Zamri Idrus, Fadly Hashim, Datuk Seri M Ramachelvam dan Datuk Hazizah Kassim.

Pada 31 Julai 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan 18 pelajar UPNM, yang kesemuanya berusia 25 tahun, membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan Osman selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie pada akhir kes pendakwaan terhadap 18 tertuduh itu.

Lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri berdepan pertuduhan membunuh Zulfarhan manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa bersubahat membunuh.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi hingga 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Pertuduhan adalah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan manakala Abdoul Hakeem didakwa mengikut Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman serupa.

Mereka bersama 12 lagi iaitu Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif, Muhammad Adib Iman dan Mohamad Syazwan juga diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan mangsa.

Mereka dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia telah mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi antara 2.30 pagi hingga 5.30 pagi 21 Mei 2017.

Zulfarhan Osman meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.

Artikel Asal di Astro Awani.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *