Kehadiran Murid Ke Sekolah Bukan Lagi Secara Berperingkat
1 min read
Kedatangan murid ke sekolah di bawah seliaan Kementerian Pendidikan (KPM) tidak lagi dilaksanakan secara berperingkat.
Kementerian berkenaan dalam satu kenyataan memberitahu, bagaimanapun operasi sekolah masih mengekalkan kaedah penggiliran.
“KPM sentiasa memantau dan meneliti keadaan semasa pengoperasian sekolah secara bersemuka semenjak dibuka semula bermula 3 Oktober lalu,” menurut kenyataan itu yang dikeluarkan hari ini di laman Facebook KPM.
Menurut kenyataan itu, dapatan daripada pemantauan dan penelitian menunjukkan bahawa pengoperasian sekolah berjalan dengan lancar serta teratur mengikut Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0.
“Institusi pendidikan bawah KPM dalam merujuk kepada institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM bagi kategori sekolah dan kategori pusat,” tambah kenyataan tersebut.
Susulan peralihan fasa empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi Kedah kementerian itu berkata, kemasukan murid tahun satu hingga tahun enam di sekolah rendah serta kelas peralihan dan tingkatan satu hingga tingkatan empat di sekolah menengah adalah pada 21 November ini, katanya.
Bagi Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Sabah yang turut beralih ke fasa empat, pengoperasian bermula 22 November.
“Kehadiran murid dalam kumpulan tersebut di sekolah harian adalah mengikut kaedah penggiliran manakala kehadiran murid di sekolah asrama sepenuhnya adalah tanpa penggiliran,” kata kenyataan itu. – SEPATAH DUA