Air Asia X Ugut Enggan Pulang Wang Penumpang Jika Penstrukturan Semula Hutang Gagal?
1 min read
Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) tidak bersetuju dengan kerangka kerja penstrukturan semula hutang AirAsia X Bhd. (AAX).
Menurut kenyataan media yang mereka keluarkan pada 12 November 2021, MAVCOM mendesak AAX untuk merangka semula pelan penstrukturan semula hutang terutamanya pada meletakkan penumpang dalam kategori “Pemiutang”.
“MAVCOM tidak melihat penumpang sebagai pemiutang kerana golongan ini tidak menjual produk kepada AAX, tidak memberikan kemudahan kredit kepada AAX, malahan tiada produk bertukar tangan.
“Maka dengan sebab itu, MAVCOM akan menggunakan segala kuasa yang diperuntukkan kepada pihaknya untuk memaksa AAX untuk memulangkan kembali wang yang telah dikutip kepada penumpang yang penerbangan mereka tidak berlaku,” menurut kenyataan itu.
Walau bagaimanapun, AAX menerusi kenyataan media pada 15 September 2021 pula masih teguh dengan kerangka kerja itu dan tiada sebarang perubahan dilakukan. Memetik sesi undian pada 12 November 2021 lalu sebagai “hampir sebluat suara”, mereka katanya akan terus beroperasi demi kepentingan semua.
Rancangan mereka adalah untuk memulangkan 0.5% daripada jumlah sepatutnya dipulangkan kepada penumpang.
Tidak terhad di situ, mereka turut akan memberikan imbuhan berasaskan tunai (baca: kredit) untuk digunakan di servis-servis AirAsia lain berdasarkan prestasi hasil tahunan selama tiga tahun.
“Semua akan berlaku sekiranya program penstrukturan semula ini berjaya. Sekiranya tidak, AAX akan dibubarkan dan menurut AAX, semua wang itu akan hangus,” menurut kenyataan AAX pula.