November 26, 2021

SepatahDua.My

"KITA SAMA-SAMA MENANG LAWAN COVID-19"

Model Myvi Baharu Sudah Terima 3,000 Tempahan Sejak Minggu Lepas

2 min read

 

Syarikat pengeluar kereta Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) telah menerima 3,000 tempahan untuk model Myvi generasi ketiganya sejak minggu lepas sebelum pelancaran rasmi model itu yang akan diadakan esok.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata pengeluaran kereta kompak mampu milik paling laris itu telah dimulakan sejak 9 November lepas.

“Penghantaran kereta baharu ke Sabah dan Sarawak juga telah dilakukan sebelum acara pelancaran rasmi pada 18 Nov ini bagi memastikan ia dapat dihantar kepada pelanggan dalam masa yang ditetapkan,” katanya pada taklimat media di ibu pejabat Perodua di Rawang, hari ini.

Myvi baharu ini akan dilengkapi dengan teknologi yang dinaik taraf, ciri keselamatan pintar yang dipertingkatkan, ekonomi bahan api yang lebih baik serta berwajah baharu, dengan varian merangkumi 1.5 liter AV (Advance Variant), varian 1.5 liter H, varian 1.5 liter X, serta dua varian 1.3 liter G.

Harga Myvi baharu ini bermula daripada RM45,700 hingga RM58,800 di Semenanjung Malaysia (tanpa insurans).

Menurut Zainal Abidin, syarikat Perodua memantau dengan teliti stok serta pengeluarannya tetapi tidak dapat mengunjurkan sebarang jumlah sasaran jualan bagi tahun ini susulan gangguan dalam ekosistem dan rantaian bekalannya.

“Katakan kami boleh capai 205,000 buah (kereta), ini sudah cukup baik berdasarkan keadaan semasa dan sebenarnya, jika kami boleh melakukan lebih daripada 200,000 jualan, ia sebenarnya agak positif bagi Perodua,” katanya.

Pada Oktober lepas, Perodua berjaya menghasilkan 29,803 unit dan menjual 27,858 kenderaan disebabkan oleh pengeluaran yang lebih baik dan penghantaran pantas kenderaannya kepada pelanggan.

Dari tahun ke tahun, Perodua mencatatkan jualan sebanyak 146,951 unit dari Januari hingga Oktober tahun ini.

Pada awal tahun ini, Perodua menghadapi masalah pengeluaran disebabkan kekurangan bekalan cip, namun syarikat masih mampu menangani gangguan berkenaan untuk memastikan jangkaan pengeluaran pada tahun ini dapat dipenuhi.

“Sehingga akhir tahun ini, berdasarkan perancangan dan unjuran semasa kami, apa sahaja keperluan membabitkan pengeluaran kami akan dipenuhi kerana kami sentiasa berkomunikasi dan berbincang dengan pembekal dan mereka komited untuk membekalkan keperluan kami bagi tahun ini,” katanya.

“Tetapi untuk suku pertama tahun depan, kami masih tidak pasti kerana belum mendapat apa-apa komitmen daripada mereka (pembekal) tetapi kami akan cuba yang terbaik dan berharap keadaan akan pulih,” kata beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *