October 3, 2023

Kementerian Wilayah Persekutuan Akan Cari Jalan Penyelesaian Masalah Pemain Industri Di Labuan

2 min read

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias mengadakan pertemuan dengan 29 wakil pemain industri di Labuan dalam lawatan kerja beliau ke sana semalam. Beliau berada di Labuan bermula dari 20 hingga 22 November.

 

Kementerian Wilayah Persekutuan akan mencari jalan penyelesaian menang menang untuk mengatasi beberapa isu yang dialami oleh para pemain industri di Wilayah Persekutuan Labuan.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias melihat ada enam isu utama antaranya kos pengangkutan yang tinggi, kira-kira 90 peratus sumber bahan mentah yang diambil dari luar, pasaran terbatas kerana penduduk kurang 100 ribu, keadaan tanah Labuan yang berpaya dan laut menyebabkan bayaran mahal dan jangkaan pulangan keuntungan atau ROI yang agak panjang di wilayah berkenaan.

Beliau berkata isu yang ada tidak boleh diselesaikan dengan cepat tetapi usaha akan dilakukan untuk mencari jalan penyelesaian.

“Memang kita tak boleh selesaikan semua isu sekelip mata dan seperti yang kita nak.

“Tapi at least kita cuba cari “win-win situation” terhadap semua aduan yang disampaikan,” katanya dalam hantaran beliau di Facebook ketika mengadakan pertemuan dengan pemain industri Labuan, semalam.

Beliau bertemu 29 wakil industri selama kira-kira 1 jam 30 minit berbincang mengenai isu-isu di Labuan.

“Kita bukan cari salah orang, tapi kita duduk bersama untuk cari solusi terbaik demi mantapkan kualiti hidup rakyat Labuan,” katanya.

Pada 21 November lepas, beliau meninjau produk pelancongan yang amat berpotensi dengan pergi ke Pulau Rusukan Besar.

Menurut beliau, paling terkenal di pulau berkenaan ialah Penyu Karah, Penyu Agar, dan kecantikan batu karang serta pantainya yang masih tidak tercemar.

“Mungkin siapa yang nak lihat kelainan penyu-penyu ini boleh datang ke sini.

“Setakat Oktober lalu, sudah 2,326 ekor penyu telah menetas dan dilepaskan ke laut,” katanya di laman Facebook.

Dalam kunjungan beliau ke pulau berkenaan, Jalaluddin turut berkesempatan bertemu dengan seorang kanak-kanaak perempuan yang berjalan di pulau berkenaan bersama ibunya.

Sehari sebelumnya, beliau turun padang dan bertemu dengan para pemimpin masyarakat di Labuan berbincang sambil minum petang.

“Ada beberapa permintaan mereka yang saya fikir relevan dan patut dipertimbangkan.

“Lebih-lebih lagi yang menyentuh soal kebajikan orang-orang kampung mereka sendiri,” katanya.

Beliau meminta pihak Perbadanan Labuan untuk melihat satu persatu cadangan dan permohonan para pemimpin masyarakat berkenaan.

Menurut Jalaluddin, para pemimpin masyarakat adalah ejen penting kepada pemimpin untuk mengetahui masalah setempat dan kemudian memaklumkannya kepada kerajaan atau pihak berkaitan.

Beliau bersama dengan pasukan dari Kementerian Wilayah Persekutuan berada di Labuan dari 20 hingga 22 November 2021. – SEPATAH DUA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *