Daerah Selama Di Perak, Satu Daerah Dengan Tujuh Lata Air Terjun Berkelah Mandi-Manda
3 min read
Pernah tak anda terfikir ada satu daerah di Malaysia yang di sana ada sampai tujuh kawasan air terjun yang amat sesuai untuk berkelah mandi-manda. Bukan satu tapi tujuh dan kesemuanya berbeza dan ada tarikannya tersendiri.
Daerah itu ialah daerah Selama, di negeri Perak Darul Ridzuan. Daerah Selama ini cerita tentang dia pun sudah amat berbeza dari daerah lain di negeri Perak. Daerah ini ada di dua negeri dan satu lagi ialah di negeri Kedah.
Ini kerana Sungai Kerian merupakan sempadan daerah Selama dengan dua buah negeri lain iaitu Kedah dan Pulau Pinang. Sudahlah cerita tentang daerah Selama dah unik, apa yang ada di sana lagi unik.
Sepatah Dua Media berpeluang singgah dan menikmati keindahan alam di dua antara kesemua lata berkenaan kerana jika mahu mandi kesemua tujuh tak cukup kalau sekadar berada di Selama, selama tiga hari dua malam.
Penginapan perjalanan kembara air terjun Sepatah Dua Media disediakan oleh pihak Majlis Daerah Selama yang mengendalikan hal ehwal pentadbiran di daerah ini.
Lata Tebing Tinggi
Lata pertama yang paling padu ialah Lata Tebing Tinggi yang agak popular sebenarnya dalam kalangan orang Malaysia yang menggemari aktiviti mandi air terjun.
Kawasan perkelahan ini amat lengkap dengan infrastruktur yang selesa dan bersih jika pengunjung datang dan menghabiskan masa mandi manda di sini, kalau henda menginap pun boleh sambil mendengar deruan air terjun yang amat indah. Lena tidur di sini ditambah dengan suasana nyaman di dalam hutan.

Di Lata Tebing Tinggi ada tandas yang bersih, ruang persalinan termasuk surau yang dibina cantik untuk anda berada di sini dengan selesa dan baik.
Apa yang padu ialah kawasan tempat mandi di air terjun Lata Tebing Tinggi ini ialah kawasan untuk mandi mandanya luas dan tidak berbatu, amat sesuai untuk keluarga dan kanak-kanak main air dan berendam, kawasannya yang luas juga membolehkan ibu bapa memantau anak dengan selamat ketika mereka bermain air.

Untuk penginapan, di Lata Tebing Tinggi ada D’Lata Chalet yang letaknya betul-betul di tepi sungai kawasan perkelahan ini.
Barisan chalet betul-betul di tepi sungai adalah pilihan terbaik tetapi anda kena cepat tempah sebab ia cepat penuh.
Pada waktu malam, sambil mendengar sungai dan air terjun yang menderu deras setiap masa. Bangun pada waktu pagi pula dengan kabus yang tebal dan suhu pada waktu malam yang sejuk, tekanan masalah dalam hidup anda pasti akan hilang segera.

Lata Damak
Satu lagi lata di Selama yang sempat menjadi tempat mandi manda team Sepatah Dua Media ialah Lata Damak. Namanya sama seperti watak damak dalam filem Seri Mersing yang diterbitkan pada tahun 1961. Siapa tak tahu dialog popular dalam filem itu “Kajang Pak Malau kajang berlipat, kajang hamba mengkuang layu, dagang Pak Malau dagang bertempat, dagang hamba musafir lalu,”
Lata Damak juga ada kelainan tersendiri kerana ia ada air terjun yang agak tinggi kira-kira 10 meter. Walaupun laluan sungainya agak sempit tetapi kawasan mandi mandanya masih luas dan selesa.


Paras airnya tidak terlalu dalam tetapi masih sesuai kalau anda hendak terjun tiruk atau terjun teruk. Di Lata Damak, ada aktiviti istimewa, anda boleh melakukan aktiviti abseiling di menuruni air terjun. Satu pengalaman sekali seumur hidup yang mesti anda cuba.
Di kawasan air terjun ini, ada satu tempat yang amat cantik di atas yang sesuai untuk anda menggelongsor di air terjun cuma anda perlu berjalan hiking sedikit ke atas. Berhati-hati sentiasa ketika anda mandi-manda di kawasan ini.
Airnya jernih dan sejuk. Bahaya jika mandi di sini ialah, anda mungkin tak mahu balik.
Sepatah Dua Media sempat mandi dan menghabiskan masa di dua lata ini sahaja. Tak sempat hendak habiskan semuanya.
Selain dua lata berkenaan, lima lata lain di Selama, Perak ialah Lata Rambung, Lata Panggung, Lata Titi Dua, Lata Putih dan Lata Buluh. – SEPATAH DUA MEDIA