June 3, 2023

Peniaga Jual Kailan Ikan Masin RM18 Dikenakan Notis Oleh KPDNHEP

1 min read

Gambar resit yang dimuatnaik oleh individu yang dikenakan bayaran RM18 untuk sepinggan masakan Kailan Ikan Masin.

 

Isu harga makanan melonjak naik semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Di media sosial juga sudah bingit bercerita tentang kenaikan harga-harga macam-macam barangan bukan hanya makanan.

Sebelum ini kecoh, hal tentang ikan siakap berharga lebih seribu ringgit, kemudian timbul isu sotong goreng RM100. Terkini, muncul pula peniaga menjual hidangan kailan ikan masin seorang makan dengan harga RM18.

Perkara ini tular di media sosial melalui resit yang dikongsi oleh seorang pengguna Facebook. Meskipun nama kedai tersebut tidak disebut oleh mana-mana pihak, namun lokasinya dipercayai bertempat di Kepala Batas, Pulau Pinang.

Melalui resit pembayaran yang dikongsi, pembeli dilihat membayar kesemua makanannya dengan jumlah RM122. Walau bagaimanapun, harga hidangan kailan ikan masin yang mencecah RM18 menjadi buah mulut orang ramai kerana dikatakan melampau dan ‘cekik darah’.

Sehubungan dengan itu, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang telah mengeluarkan Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) terhadap peniaga tersebut.

Pihak KPDNHEP Pulau Pinang turut menegaskan peniaga restoran itu perlu tampil dan memberikan maklum balas terhadap notis tersebut dalam tempoh dua hari bekerja.

Memetik laporan dari Utusan Malaysia, pegawai penguat kuasa telah hadir ke lapangan bertujuan menyiasat perkara tersebut pada hari yang sama aduan diterima.

Melihat pada perkongsian asal, pelanggan tersebut dikatakan redha dengan harga yang dibayar, namun agak terkesan dengan hidangan kailan ikan masin yang berharga RM18 itu.

Turut dilihat dalam resit restoran tersebut adalah ikan jenahak yang berharga RM90, sayur campur dengan harga RM9 serta sambal dan ulam berharga RM5.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *