Kepentingan Rakyat Utamakan Dahulu Sebelum Adakan Pilihan Raya Umum Ke-15
1 min read
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Jalaluddin Alias merasakan kepentingan dan kesejahteraan masyarakat perlu diutamakan terlebih dahulu untuk diselesaikan sebelum mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau berkata ini adalah masa terbaik untuk kerajaan dan pimpinan parti untuk memastikan pembelaan rakyat dapat diteruskan terutama berkaitan keselamatan dan kesihatan rakyat yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
“Apabila semua selesai, saya yakin Perdana Menteri akan mempunyai beberapa justifikasi penting bagi membubarkan Parlimen,” katanya.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mencadangkan agar Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sewajarnya dilakukan pada tahun 2022 atau 2023.
Menurutnya, ia adalah langkah wajar bagi membolehkan kerajaan memberikan fokus khusus kepada rakyat.
“Pada pandangan saya, Bajet 2022 baru sahaja lulus. Saya ingat wajar untuk kita menikmati dahulu bajet ini kerana ia memberi perhatian khusus kepada rakyat Malaysia terutamanya mereka yang terkesan akibat Covid-19.
“Jadi bagi peluang untuk kerajaan menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.
Mengulas lanjut, Shahidan berkata, ia secara tidak langsung memberikan peluang kepada pengundi berumur 18 tahun turut serta dalam PRU15.
“Tidak ada keperluan untuk membuat PRU15 serta-merta. Ini pandangan dan tidak perlu dikritik,” katanya. – SEPATAH DUA