March 29, 2023

Imej Pasar Malam Akan Berubah, Lebih Segar Dan Seragam – Reezal Merican

1 min read

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri sekali) bersama dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (dua, dari kiri) meninjau gerai di pasar malam sempena pelancaran Program Transformasi Pasar Malam.

 

Pasar malam yang menjadi tempat kunjungan orang ramai untuk membeli barangan dan bersiar-siar akan berubah wajah pada masa akan datang melalui Program Transformasi Pasar Malam.

Pada 3 Disember lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merasmikan program transformasi berkenaan dalam satu majlis di tapak pasar malam Presint 2 di Putrajaya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata program berkenaan merupakan satu inisiatif KPKT untuk meningkatkan keyakinan rakyat selepas fasa pandemik untuk menggerakkan kembali rantaian ekonomi domestik dengan pasar malam yang berwajah baharu.

“Inisiatif ini juga memperkenalkan wajah baharu pasar malam dengan imej yang lebih segar dan seragam.

Imej pasar malam akan berubah menjadi lebih nampak segar dan seragam.

“Selain itu, elemen pengurusan pengunjung turut diterapkan dengan memperkenalkan marshal pasar malam,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau.

Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM25 juta bagi program berkenaan itu di 50 buah tapak pasar malam utama pada tahun depan.

Terdahulu, Reezal Merican bersama Ismail Sabri menghadiri perasmian sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Kebangsaan dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC).

“Sememangnya menjadi hasrat Kerajaan untuk sentiasa membantu usahawan dalam pelbagai segi agar pemulihan ekonomi dapat segera terlaksana.

“Soal sokongan kewangan dan pembiayaan, pastinya MEDAC sedia membantu. KPKT pula akan terus menyokong persekitaran perniagaan melalui inisiatif berterusan serta peranan PBT di seluruh negara,” katanya. – SEPATAH DUA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *