Doktor Lakukan Lebih 37,000 Pembedahan Pembetulan Sumbing Bibir Secara Percuma
2 min read
Inilah Dr Subodh Kumar Singh bersama dengan seorang daripada ramai kanak-kanak yang sudah dibantu dengan melaksanakan pembedahan pembetulan sumbing bibir.
Seorang pakar bedah dari India dianggap sebagai wira dalam kalangan kanak-kanak apabila beliau banyak menghabiskan melaksanakan lebih 37,000 pembedahan untuk membetulkan keadaan sumbing bibir untuk mereka.
Kejadian bibir sumbing dianggap satu kecacatan ketika lahir apabila bibir atau mulut bayi tidak tumbuh dengan sempurna ketika dalam kandungan.
Ia akan membawa banyak masalah kepada bayi antaranya sukar untuk minum susu dengan baik serta mereka akan menghadapi risiko menjadi mangsa buli dan dilayan dengan buruk ketika membesar.
Sejak mula melakukan pembedahan secara pro-bono pada 2004, Dr Sumodh sudah melakukan lebih 37,000 pembedahan untuk kanak-kanak dan orang dewasa
Kecacatan itu boleh diperbetulkan melalui pembedahan plastik tetapi prosedur perubatan ini terlalu mahal dan tidak ramai keluarga miskin di India mampu menjalaninya, di situlah pakar pedah ini membantu kanak-kanak miskin ini.
Pakar Bedah Dr Subodh Kumar Singh yang dilahirkan di Varanasi, Uttar Pradesh dalam keadaan miskin ketika membesar memberikan inspirasi kepada beliau untuk melakukan pembedahan itu tanpa memikirkan berkaitan pulangan kewangan kepada dirinya.
Dr Subodh kehilangan bapanya yang bekerja sebagai seorang kerani syarikat keretapi ketika berusia 13 tahun.
Untuk terus hidup, dia dan tiga orang adik beradik lelakinya menyara keluarga dengan menjual lilin yang dihasilkan sendiri, sabun dan cermin mata keselamatan di tepi jalan.
Saudara lelakinya kemudian berhenti sekolah untuk menyara keluarga serta mahu membantu beliau melanjutkan pelajaran dan mencapai impiannya untuk menjadi doktor.
Beliau menamatkan pengajian dari Institut Sains Perubatan serta melengkapkan ijazah lanjutan dalam pembedahan am dan merupakan pakar dalam pembedahan plastik.
“Zaman kanak-kanak saya memberi kekuatan kepada saya untuk memahami perjuangan orang lain.
“Kesusahan yang dialami mereka sangat dekat dengan saya dan ia membuatkan saya rasa seperti ada satu hubungan dengan mereka,” katanya kepada The Better India.
Menyedari bayi dan kanak-kanak yang lahir dengan keadaan sumbing bibir dan memerlukan bantuan, beliau mula melakukan pembedahan dan rawatan secara percuma untuk membantu seberapa ramai kanak-kanak yang boleh.
“Kanak-kanak seperti ini tidak mampu minum susu seperti bayi biasa dan ramai antara mereka meninggal dunia kerana kekurangan zat.
“Mereka sukar menggunakan lidah untuk bertutur dan mereka mengalami masalah percakapan,” katanya.
Sejak mula melakukan pembedahan secara pro-bono pada 2004, Dr Sumodh sudah melakukan lebih 37,000 pembedahan untuk kanak-kanak dan orang dewasa.
Beliau juga sudah berjaya melatih ramai doktor di serata India untuk boleh melakukan pembedahan berkenaan dan pada masa berharap dapat menubuhkan satu pusat kebangsaan untuk pembedahan berkenaan. – SEPATAH DUA