March 29, 2023

Sungai Gombak Dan Sungai Klang Ditransformasikan Dalam Projek River Of Life

2 min read

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias ketika berucap dalam sidang Parlimen di Dewan Negara, semalam.

 

Dua batang sungai yang terkenal di ibu negara iaitu Sungai Klang dan Sungai Gombak kini sedang dalam proses transformasi sebagai ikon waterfront di Malaysia.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata sungai berkenaan ditransformasikan di bawah Projek River of Life (RoL) yang dilaksanakan sepanjang 110 kilometer sungai berkenaan di sekitar Kuala Lumpur.

“Antara sungai yang lain yang terlibat ialah Sungai Batu, Sungai Jinjang, Sungai Keroh, Sungai Kerayong, Sungai Ampang dan Sungai Bunus,” katanya ketika menjawab soalan pertanyaan bagi Kementerian Wilayah Persekutuan adakah kementerian bercadang mengindahkan Sungai Hombak dan Sungai Klang yang merentasi bandar raya Kuala Lumpur melalui kaedah sama seperti projek pengindahan Sungai Melaka.

Beliau berkata demikian ketika Sidang Dewan Negara di Parlimen, semalam.

Dalam info grafik yang dimuatnaik di laman Facebook beliau antara fakta yang dipaparkan ialah projek pembersihan melibatkan jarak 110 kilometer dan pengindahan melibatkan jarak 10.7 kilometer.

Projek berkenaan bermula dari tahun 2011 hingga 2024 untuk kerja pembersihan dan dari tahun 2011 hingga 2021 untuk proses pengindahan.

Menurut paparan berkenaan, sebanyak 92 peratus bagi komponen pembersihan sudah siap dan bagi komponen pengindahan ia sudah siap sepenuhnya 100 peratus.

Kos bagi kerja transformasi Sungai Gombak melibatkan RM3.759 bilion bagi pembersihan dan RM1.933 bilion bagi kerja pengindahan.

“Mesyuarat Jemaah Menteri pada 6 Disember 2019 bersetuju dengan keputusan MPN supaya Projek River Of Life (RoL) dilanjutkan tempoh pelaksanaannya sehingga 2024,” menurut info grafik berkenaan.

Projek RoL dimiliki dan dikelolakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan dibangunkan pada 2018 dengan kos RM4.4 bilion dan pada 2019 telah diiktiraf sebagai salah satu daripada 10 landskap pancuran air terbaik di dunia oleh The Independent.

Jalaluddin menjawab soalan Senator Hisamudin Yahaya pada sidang berkenaan.

Jalaluddin berkata, program pembangunan di sepanjang RoL akan berlaku dari semasa ke semasa walaupun trek jogging dan berbasikal serta lampu telah siap.

Menurut beliau, pembangunan itu akan berlaku secara berperingkat demi berperingkat. – SEPATAH DUA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *