September 27, 2023

Remaja Berniaga Tepi Jalan Teruja, Agong Dan Permaisuri Singgah Beli Air Kelapa

1 min read

 

Seorang remaja tidak menyangka bertemu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ketika berniaga air kelapa berhampiran Istana Abdulaziz di Kuantan, semalam.

Muhammad Aqmal Fiqrie Azrin, 16 tahun, dari Chenderawasih berkata, pada mulanya, dia hanya melihat kenderaan yang dinaiki baginda berdua serta kenderaan lain membuat pusingan U.

Bagaimanapun, dia terkejut apabila kenderaan dinaiki baginda berdua berhenti dan ketika itu, Raja Permaisuri Agong menurunkan cermin tingkap kenderaan bertanyakan air tebu.

“Saya cakap air tebu tidak ada hari ini (semalam) sebelum baginda berdua turun dan membeli air kelapa muda serta jeli kelapa.

“Ketika itu, secara tiba-tiba perasaan gementar datang tetapi saya dapat menjawab pertanyaan baginda berdua yang bertanyakan umur dan sekolah.

“Biasanya kenderaan yang dinaiki baginda ada melalui jalan ini tetapi hari ini, baginda berdua singgah, itu yang membuatkan saya rasa gementar.

“Namun, saya teruja kerana dapat bertemu baginda berdua yang cukup ramah,” kata anak sulung daripada tiga beradik itu.

Menerusi hantaran Facebook rasmi Istana Negara semalam, baginda berdua berkenan singgah di gerai kelapa yang terletak berhampiran Istana Abdulaziz.

Ketika itu, baginda berdua dalam keberangkatan pulang ke Istana Abdulaziz dari lawatan kerja ke ladang Yayasan Pahang di Gambang di sini.

Muhammad Aqmal Fiqrie Azrin berkata, pengalaman bertemu baginda berdua akan dikenang sampai bila-bila.

“Pada masa sama, sebenarnya saya lebih kepada membantu jiran menjual air kelapa ketika cuti persekolahan,” kata pelajar tingkatan empat berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *