Sehingga 700,000 Orang Hadir Festival Muzik Di Arab Saudi
1 min read
Antara pengunjung Festival Muzik MDLBeast Soundstorm di Arab Saudi.
Seramai 700,000 orang pengunjung direkodkan hadir Festival Muzik MDLBeast Soundstorm di Riyadh, Arab Saudi.
Menurut pihak berkuasa, itu ialah jumlah keseluruhan pengunjung itu direkodkan sepanjang empat hari festival itu berlangsung.
Festival muzik elektronik itu dianjurkan sebagai usaha pemimpin negara berkenaan untuk mengubah imej konservatif negara berkenaan.
Acara itu dianjurkan beberapa tahun selepas negara berkenaan melonggarkan sekatan terhadap muzik dan tarian.
Penghibur dan muzik antarabangsa termasuk DJ David Guetta turut menghiburkan pengunjung, walaupun terdapat gesaan untuk memboikotnya, atas alasan rekod hak asasi di Arab Saudi.
Festival berakhir Ahad itu diadakan ketika peningkatan kes Covid-19 direkodkan di Arab Saudi, selain kebimbangan terhadap penyebaran varian Omicron.
Arab Saudi merekodkan kes kematian tertinggi dalam senarai negara Arab dengan 8,860 kematian.
Dalam tempoh empat hari, seramai 732,000 pengunjung menghadiri “satu daripada festival muzik terbesar di dunia,” menurut Ketua Pihak Berkuasa Hiburan Awam, Turki al-Sheikh.
Festival berkenaan dilancarkan sejak 2019 menyaksikan kunjungan ‘lautan’ manusia yang majoritinya golongan muda yang berhibur sambil mendengar muzik barat.
“Kami tidak pernah menyaksikan acara seperti ini di Riyadh sebelum ini dengan pengunjung dan muzik,” kata seorang pengunjung wanita kepada AFP.
Kebangkitan pemerintah de facto Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammed Salman, pada 2017 membawa beberapa pembaharuan.
Pelbagai sekatan yang dikenakan sebelum ini seperti melarang wanita memandu dan percampuran gender dalam konsert dan acara, sudah ditarik balik.
Kumpulan hak asasi manusia juga mengeluarkan kenyataan mengenai festival yang sepatutnya digunakan untuk berbicara mengenai hak asasi yang dinafikan di Arab Saudi.