September 27, 2023

Kronologi Perdana Menteri Turun Ke Lokasi Banjir

2 min read

Video penerangan di platform Youtube oleh Pegawai Khas Perdana Menteri Wan Khairul Ihsan tentang bagaimana perjalanan atau kronologi pergerakan bantuan dan operasi menyelamat mangsa banjir di Shah Alam khususnya pada hari Sabtu lepas 18 Disember 2021.

 

Bukan masa untuk menuding jari. Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan segera Panglina Tentera Darat dan Ketua Polis Negara menggerakkan aset pada petang Sabtu bukti kerajaan telah bertindak awal sebelum mendapat laporan atau maklumat dari pihak bertanggungjawab negeri.

Jangan politikkan isu bencana. Di mana anda pemain media sosial ketika anggota penyelamat bertugas lebih 48 jam tanpa rehat menyelamatkan puluhan ribu mangsa?

Tanya diri kita, apa bantuan dan sumbangan kita sebelum kita mempertikaikan kerja orang lain.

Bukan itu sahaja, Ismail Sabri juga sendiri turun padang dan melihat sendiri keadaan mangsa serta bertanyakan keperluan dan kekangan yang mereka hadapi sebelum membuat arahan selanjutnya pula untuk menggerakkan bantuan.

Dalam satu video penjelasan yang diberikan oleh Pegawai Khas Perdana Menteri, Wan Khairul Ihsan beliau ada menerangkan tentang peringkat-peringkat di dalam Majlis Keselamatan Negara (MKN) di bawah pengurusan sesuatu bencana.

Mengikut Arahan No. 20 MKN di bawah Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara, ada beberapa peringkat pengurusan bencana yang perlu diikuti,” katanya.

Beliau menyatakan pada peringkat Pengurusan Bencana Tahap 1 (Peringkat Daerah) di setiap daerah ada Jawatankuasa Pengurusan Bencana yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah.

Pada peringkat Pengurusan Bencana Tahap 2 pula iaitu di peringkat negeri, jawatankuasa berkenaan dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), katanya.

“Mana mungkin Pusat (kerajaan) dengan serta-merta daripada netizen… memang betul ada dibangkitkan daripada netizen dah bagi maklumat tetapi itu bukan perkara yang boleh dijadikan satu bentuk pengarahan.

“Maksudnya, dengan kata lain macam mana pihak pusat hendak membantu jika negeri tidak menyampaikan maklumat untuk mendapatkan bantuan,” katanya Wan Khairul dalam video berkenaan.

Menurut beliau, pada petang hari Sabtu 18 Disember 2021, Ismail Sabri telah mengarahkan Panglima Tentera Darat dan Ketua Polis Negara untuk menggerakkan aset secara segera ke kawasan terlibat antaranya di Kampung Bukit Lanchung.

“Perdana Menteri juga mengarahkan pegawai-pegawai dia untuk memberikan tumpuan.. Setiausaha Politik beliau yang harus terbang ke Sabah atas urusan Pejabat Perdana Menteri, Perdana Menteri arah batal penerbangan.

“Setiausaha Politik Perdana Menteri berada di lokasi di Kampung Bukit Lanchung pada pukul 8.30malam membantu sendiri mangsa banjir,” katanya.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Syed Mohd Fazmi Sayid Mohammad membantu mendukung seorang bayi dan diserahkan kepada ibunya sebelum meminta ibunya pergi ke kawasan di mana anggota bomba berada untuk mendapat bantuan selanjutnya.

Gambar dan video Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Syed Mohd Fazmi Sayid Mohammad tular di media sosial kerana berada di lokasi banjir antara paling awal dan membantu mangsa-mangsa banjir.

Pada hari yang sama pada pukul 11 malam, Ismail Sabri mempengerusikan mesyuarat di NADMA dan kemudian bergegas ke lokasi banjir pada sekitar pukul 1 pagi.

Adalah penting untuk semua pihak mengetahui kronologi sebenarnya yang berlaku dalam krisis bencana banjir ini sebelum menuding jari kepada pihak lain kerana seawal petang Sabtu ketika hujan lebat kerajaan sudah mengeluarkan arahan untuk pihak berkuasa menggerakkan aset.

Perdana Menteri turut memastikan semua aset dapat digerakkan dan dihantar pada malam itu juga ke Shah Alam di Selangor yang merupakan antara kawasan yang terjejas teruk. – SEPATAH DUA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *