October 3, 2023

Udang Galah Air Gunung Di Selama, Kalau Pancing Boleh Lepas Geram Dan Kalau Beli Puas Hati

2 min read

Pengusaha Kolam Pancing Udang Galah Klian Gunung, Yusni Dahalan menunjukkan udang galah ternakannya di Klian Gunung, Ijok, Selama di Perak. - FOTO SEPATAH DUA ONLINE

 

Kalau sebut udang galah negeri Perak biasanya akan terbit dalam minda kerana di sana ada Bandar Udang Galah yang terkenal iaitu Teluk Intan.

Di daerah itu, ada juga replika tugu udang untuk menunjukkan bahawa bandar itu terkenal dengan hidangan udang galah serta Sungai Perak di sana juga terkenal sebagai port untuk pancing udang galah.

Selain Teluk Intan, Tanjung Tualang juga terkenal dengan penjualan udang galah di negeri Perak tetapi daerah itu agak kecil dan ia dikenali sebagai Pekan Udang Galah. Kebanyakan udang galah di kedua-dua tempat ini datangnya dari Sungai Perak.

Di sini, anda boleh datang ke Selama dan beli udang galah yang diternak oleh Yusni dengan harga RM75 sekilogram.

Jangan takut, pembelian anda takkan berakhir dengan penyesalan

Ada satu lagi lokasi di negeri Perak yang anda terlepas pandang dan ia bukan calang-calang tempat ternakan udang galah.

Lokasinya ialah di daerah Selama, juga di Perak. Ternakan udang galah sepit biru yang jadi buruan ramai berbeza sedikit di sini kerana ia diternak dalam kolam yang dialirkan air dari gunung yang membuatkan udang berkenaan amat istimewa.

Di sini lokasinya orang panggil Udang Galah Air Gunung. Ia terletak dalam kawasan Klian Gunung di Ijok, Selama Perak.

Tempat ini terletaknya Kolam Pancing Udang Galah Klian Gunung yang diusahakan oleh Yusni Dahalan.

Kolam ini terletak dekat dengan Lata Buluh yang juga merupakan satu daripada 7 destinasi mandi manda air terjun di daerah Selama, Perak.

Kalau tengok saiz dan rupa udang galah yang diternak menggunakan air gunung memang akan menerbitkan rasa geram. Geram nak pancing satu, geram nak beli satu.

Di sini, anda boleh datang ke Selama dan beli udang galah yang diternak oleh Yusni dengan harga RM75 sekilogram. Jangan takut, pembelian anda takkan berakhir dengan penyesalan.

Rupa udang galah yang diternak oleh Yusni Dahalan.

Kalau anda kaki pancing, trip anda sampai ke Selama dan ke kolam pancing ini juga takkan menyesal kerana jika anda pakar, anda pasti takkan puas melabuhkan mata kail ke dalam kolam ini dan berentap dengan udang galah.

Jika anda hendak memancing harganya bermula dari 1 jam RM30 hingga 4 jam RM50. Duduklah di sana sampai anda puas memancing udang galah.

Ada masa Yusni akan mengadakan pertandingan di kolamnya dan jika berjaya, hadiah berupa hamper akan diberikan kepada mereka yang berjaya.

Antara pemenang hadiah hamper di kolam ternakan udang galah air gunung Yusni Dahalan.

Menurut beliau, ada udang galah di dalam kolamnya diletakkan tanda dan jika ada pemancing berjaya mendapatkan udang tanda berkenaan, ada hadiah misteri menanti anda.

Jika memancing di sini, anda takkan tension kerana di sekeliling kolam pancing Yusni adalah gunung-ganang yang cantik yang masih terjaga kelestariannya.

Bila tak memancing, bergerak lah di antara 7 lata air terjun dan mandi-manda lah sepuas hati anda di sana. – SEPATAH DUA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *