August 12, 2022

DARI MATA KITA : Selangor Ada Unit Urus Bencana Sendiri, Tapi Gagal Berdepan Banjir, Kenapa?

2 min read

Keadaan kerosakan banjir di Dengkil, Selangor pada Sabtu lepas melalui gambar dari udara.

 

Ketika bencana banjir yang terjadi pada Sabtu lepas, negeri Selangor ialah satu-satunya negeri yang dikatakan tidak mematuhi sepenuhnya arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 20.

Menurut sumber, Unit Pengurusan Bencana Negeri yang sepatutnya dibawah kawal selia Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, difahamkan telah digantikan kepada Selangor Volunteers (SERVE) pada 29 Ogos 2021 yang lalu.

Di negeri lain, Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang beroperasi daripada Pusat Kawalan Operasi Banjir (“PKOB”) akan melaporkan terus kepada NADMA tetapi lain pula di Selangor, agensi SERVE ini diletakkan di bawah tanggungjawab Exco Kemasyarakatan dan Kesukarelawanan.

SERVE membuat kordinasi sendiri dan tidak melaporkan kepada NADMA.

Hasilnya, akibat terlalu berpolitik akhirnya mereka gagal. Pasukan yang dibentuk kononnya idea bernas negeri menemui kegagalan kerana yakin ‘dengan sistem yang salah’.

Buktinya ketika paras air naik mendadak dan keadaan telah sampai tahap yang kritikal pada jam 3 petang, Menteri Besar hanya membuat panggilan meminta bantuan dari Perdana Menteri, Dato Sri Ismail Sabri Yaakob pada pukul 8.30 malam.

Ismail Sabri terus memanggil agensi yang terlibat dengan pengurusan bencana hadir untuk mesyuarat tergempar. Lihat penjelasan kordinasi di SINI.

Di waktu yang sama selain Bukit Lanchong, Hulu Langat, Sepang, Port Klang, Shah Alam dah mula ‘tenggelam’.

Kegagalan pengurusan banjir atau bencana ini dilihat sama ketika bala serangan virus covid-19. Selangor dilaporkan seolah berdegil tidak ingin mengikuti program Vaksinasi Kebangsaan.

Menteri Besar Selangor dan pengurusan negeri cuba ‘tunjuk bijak’ apabila melancarkan sendiri program vaksin mereka yang dinamakan sebagai program SELVAX.

Mereka membeli vaksin dan menubuhkan jawatankuasa sendiri. Akhirnya menemui jalan buntu apabila angka jangkitan meroket ke langit.

Ketika ini, rakyat Selangor seolah tidak dipedulikan, akhirnya Perdana Menteri juga menyelesaikannya dengan mengarahkan jawatankuasa kebangsaan mengambil alih peranan SELVAX yang mula menunjukkan graf gagal melaksanakannya.

Bayangkan peratusan Selangor mencapai tahap paling rendah kadar vaksinasi di saat negeri lain menuju 90% imuniti kelompok. Selangor ketika itu belum pun mencecah 80%.

Akibat terlalu berpolitik dan ingin menjadi ‘hero rakyat’, akhirnya nyawa rakyat menjadi taruhan.

Sudah sampai masanya Menteri Besar Selangor memohon kemaafan kepada seluruh rakyat Selangor terutama mangsa petaka banjir.

Leave a Reply

Your email address will not be published.