Pemilik Bengkel Berniat Infak Jual Kereta Kepada Warga Emas Berharga RM1
2 min read
Pemilik Makhdad Workshop, Shikh Muhammad Makhdad Haron, (kiri) menerima wang RM1 daripada rakannya Isa Abdul Ghani untuk membeli kereta berkenaan yang dijual atas nama infak bagi membantu Isa menghantar pesanan roti canai.
Apabila berbicara tentang nilai kemanusiaan pastinya kita akan melihat betapa ia amat berharga sehingga tiada nilai yang setara dengannya.
Di Kampung Gangsa, Durian Tunggal di Melaka, seorang pengusaha dan pemilik bengkel kereta yang amat bermurah hati telah menjual sebuah kereta jenis Proton Iswara Aeroback kepada seorang warga emas dengan harga hanya RM1.
Pemilik Makhdad Workshop, Shikh Muhammad Makhdad Haron, 48 tahun, menjual kereta berkenaan kepada rakannya Isa Abdul Ghani, 72 tahun.
Shikh Muhammad Makhdad Haron atau lebih mesra dipanggil Pak Ngah berkata hatinya tersentuh apabila mengetahui tentang kesusahan yang dilalui oleh rakannya itu.
Difahamkan, Isa terpaksa menjual roti canai segera di kedai-kedai dan kantin sekolah demi kelangsungan hidupnya.
Menurut Pak Ngah, wang RM 1 yang dibayar oleh rakannya itu hanyalah simbolik bagi menginfakkan kereta tersebut supaya memudahkan Isa untuk menghantar tempahan kerana Isa dikatakan tidak memiliki kenderaan.
“Sebelum ini, Isa mempunyai sebuah kereta tapi terpaksa dijualnya kerana sering mengalami kerosakan.
“Jadi, dengan kelebihan dan kemahiran yang Allah SWT berikan kepada saya sebagai seorang pemilik bengkel kereta, saya terpanggil untuk membantunya walaupun nilainya tak seberapa,” kata Pak Ngah.
Proton Iswara Aeroback yang dijual itu juga dikatakan kenderaan ketiga Pak Ngah yang telah diinfakkan kepada golongan kurang bernasib baik.
Pak Ngah juga sebelum ini pernah menginfakkan sebuah kereta kepada seorang ibu tunggal yang mempunyai anak ramai dan hanya bergerak menggunakan motosikal.
Di samping itu, Isa menyatakan kebuntuannya selepas menjual kereta miliknya.
Ketiadaan kenderaan membuatnya sukar untuk bergerak, lebih-lebih lagi apabila mendapat tempahan sebanyak 800 keping roti canai.
Walaupun sudah dimamah usia, Isa masih mampu untuk terus berdikari dan menyara isterinya yang berusia 76 tahun.
“Memang saya mempunyai seorang anak. Tapi dia juga mempunyai tanggungan keluarga. Syukur ALLAH SWT masih memberikan rezeki kesihatan kepada saya.
“Bila ada orang yang berikan kereta ini untuk memudahkan saya menjual roti canai, saya terharu kerana masih ada insan yang prihatin,” katanya. – SEPATAH DUA