December 6, 2023

Pemuda UMNO Perlu Bantu Orang Muda, Amanah Pemuda Jadi Hero Orang Muda

2 min read

Ketua Pergerakan Pemdua UMNO Malaysia sekarang Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

 

Ada masanya, keperluan orang muda kadang kala tidak diberi perhatian yang sewajarnya sehingga menyebabkan UMNO kurang mendapat sambutan dari golongan ini.

Di sinilah sayap Pergerakan Pemuda UMNO perlu memainkan peranan yang besar bagi menarik minat orang muda bagi mendekati parti keramat orang Melayu berkenaan.

Amanah tugas Pemuda ialah jadi hero orang muda

Mungkin banyak manifesto Pemuda UMNO sebelum ini, persoalannya adakah ia benar-benar menepati kehendak golongan tersebut? Dan adakah manifesto tersebut dilaksanakan dengan sebaik-baiknya?

Ketika Pilihan Raya umum ke-14 (PRU14), Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) ketika itu, Khairy Jamaluddin melancarkan manifesto golongan muda yang dikenali sebagai ‘Jaminan Orang Muda’ . Namun KJ gagal menarik minat golongan muda dengan manifesto tersebut.

Manifesto itu menggariskan lapan jaminan iaitu untuk memperhebat orang muda dalam tempoh lima tahun akan datang, melibatkan peluang pekerjaan dan latihan, meningkatkan pendapatan dan kemahiran, memperkasa ekonomi belia luar bandar, memudahkan usahawan muda mendapat bantuan dan meringankan beban keluarga muda.

Selain itu, Pemuda BN turut berjanji untuk menyediakan kehidupan berkualiti, memastikan peluang untuk segenap segmen dan mengangkat idea generasi Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Melalui jaminan peluang pekerjaan dan latihan, setiap warga muda akan dibantu untuk mendapat pekerjaan dalam masa enam bulan selepas berdaftar dengan sistem Tawaran Orang Muda.

Bagi mencapai jaminan tersebut, BN akan memadankan orang muda dengan projek-projek infrastruktur mega negara, memberi insentif untuk usahawan sosial mencipta lebih banyak peluang pekerjaan selain melengkapi lebih lima juta pelajar sekolah dengan kemahiran digital Revolusi Industri 4.0 selain lebih sejuta orang muda akan mendapat peluang latihan dan kerjaya dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Dalam meningkatkan pendapatan dan kemahiran, ia meliputi bantuan kewangan untuk pekerja muda belajar kemahiran baharu secara dalam talian atau membeli perisian komputer berkaitan kerja selain mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing kepada paras 15 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja negara dan mewujudkan gelombang baharu usahawan desa.

Inisiatif lain termasuk memperluas ekonomi digital di desa, menyediakan bantuan perkahwinan bagi mengurangkan beban kewangan untuk berkahwin serta meningkatkan jumlah unit rumah mampu milik, rumah mampu sewa dan rumah transit.

Jika diteliti, manifesto tersebut sangat baik tetapi mengapa ianya tidak mampu menarik minat golongan muda untuk bersama BN. Perkara ini yang perlu dikaji.

Tanggungjawab ini sekarang dipikul pula oleh Ketua Pergerakan UMNO kini iaitu Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau perlu ke depan membawa isu-isu yang penting bagi golongan muda. Ingatlah tugas PEMUDA UMNO untuk menjadi hero orang muda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *