Doktor Ditahan Disyaki Jual Sijil Vaksinasi Palsu
1 min read
Seorang doktor berusia 51 tahun ditahan kerana disyaki melakukan perbuatan menjual sijil vaksinasi palsu kepada orang ramai.
Sijil berkenaan didapati dijual dengan harga RM400 – RM500 seorang.
Ketua Polis Negeri Terengganu DCP Datuk Rohaimi Md Isa berkata, dalam serbuan pihak berkuasa pada 8 Januari yang lalu, pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) telah merampas sebanyak 1,900 sijil palsu berkenaan.
Menerusi laman Facebook Polis Terengganu, beliau berkata sijil itu dijual secara online dan ia dijual kepada orang yang enggan menerima suntikan vaksin tetapi mahu merentas negeri.
Polis merampas 1,900 sijil vaksin Covid19 bernilai hampir sejuta ringgit dipercayai palsu yang DIKELUARKAN oleh sebuah klinik swasta di Marang kepada anti vaksin. Seorang Doktor lelaki berusia 51 tahun dicekup bagi membantu siasatan. Setiap sijil dijual RM400-500. @BuletinTV3 pic.twitter.com/hf8FKVa8b3
— Mohd Ishak Abdillah Ngah (@ShaqNewsMPB) January 10, 2022
Susulan itu, Rohaimi mengingatkan mana-mana pihak yang mengeluarkan sijil vaksinasi palsu kepada pelanggan demi mengaut keuntungan agar menghentikan tindakan yang melanggar etika ini.
Beliau turut meminta orang ramai untuk menyalurkan maklumat kepada pihak PDRM Terengganu supaya tindakan lanjut dapat diambil demi kesejahteraan semua jika mempunyai maklumat kegiatan seperti ini di kawasan tersebut. – SEPATAH DUA