Dari Mata Kita : UMNO Perlu Pandai Ambil Peluang Menang PRU-15 Kali Ini
3 min read
Kekalahan UMNO BN di Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 adalah satu sejarah negara yang terpahat sampai bila-bila.
Kekalahan yang tidak pernah dijangka dan tidak ada seorang pun rakyat Malaysia yang menyangkakan bahawa sebuah parti yang terkenal dengan struktur pengurusan yang terbaik berbanding dengan parti-parti lain boleh tumbang dengan angka yang memalukan.
Habis sudah legasi BN dan UMNO yang memerintah negara Malaysia sejak merdeka selama kira-kira 60 tahun.
Rakyat inginkan UMNO BN kembali memimpin berdasarkan tahap keupayaan UMNO BN selama ini menguruskan negara. Bukan sesuatu yang mudah untuk kembalikan kepercayaan rakyat kepada UMNO yang tumbang dalam pilihanraya umum
Ahli UMNO tidak boleh nafikan walaupun antara faktor kekalahan adalah serangan fitnah bertali-arus terhadap isu-isu tertentu namun ahli UMNO perlu ingat, kegagalan memanfaatkan kuasa yang ada adalah antara faktor penting juga apabila berhadapan dengan krisis kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.
Apabila rakyat mula hilang atau terhakis kepercayaannya kepada kerajaan yang memerintah maka rakyat akan membuat keputusan tanpa menilai risiko masa depan mereka sendiri dan akan menghukum kerajaan yang memerintah walaupun selama ini mereka mendapat bantuan serta perhatian dari kerajaan tersebut.
Padah apabila hilang kepercayaan, segala kebaikan yang selama ini mereka kecapi hilang begitu sahaja. Tiada lagi istilah ‘orang berbudi kita berbahasa’.
Selama 22 bulan UMNO menjadi pembangkang yang total sehinggalah kerajaan PH pimpinan Mahathir tumbang dengan sendirinya.
UMNO kembali bernafas sedikit lega apabila tertubuhnya ‘kerajaan campuran’ pimpinan Muhyiddin.
Kelegaan tersebut kerana beberapa orang dari UMNO diberi kepercayaan sebagai Menteri Kanan seterusnya dilantik menjadi ‘orang nombor dua negara’. Inilah permulaan perjalanan baru bagi UMNO selepas dimalukan di pilihanraya umum ke 14. Dan ini pun tiada siapa rakyat Malaysia sangka bahawa UMNO boleh bernafas kembali.
Petunjuk jelas ketika itu adalah siri kemenangan Barisan Nasional di beberapa pilihanraya kecil termasuk yang terbaru adalah kemenangan yang besar di pilihanraya negeri Melaka.
Jangan lupa, menang di beberapa pilihanraya kecil ketika UMNO BN masih sebahagian dari ‘kerajaan campuran’ dan kemenangan besar di PRN Melaka adalah ketika mana UMNO juga masih di dalam ‘kerajaan campuran’.
Perbezaannya adalah ketika pilihanraya negeri Melaka, UMNO memimpin negara sebagai Perdana Menteri.
Petunjuk tersebut adalah graf kepercayaan rakyat mula kembali kepada UMNO BN. Kita tidak boleh nafikan fakta ini.
Rakyat inginkan UMNO BN kembali memimpin berdasarkan tahap keupayaan UMNO BN selama ini menguruskan negara. Bukan sesuatu yang mudah untuk kembalikan kepercayaan rakyat kepada UMNO yang tumbang dalam pilihanraya umum.
Dalam zaman pentadbiran UMNO BN, politik negara sentiasa kekal stabil dan negara aman makmur.
Tetapi akhir-akhir ini rakyat mula melihat UMNO mula hilang fokus. Rakyat melihat UMNO seolah bercakaran sesama sendiri di pelbagai peringkat sehinggakan kepimpinan di peringkat cawangan juga sudah mulai termakan racun yang dilemparkan, racun hasutan ‘anti kerajaan’ .
Mereka seakan lupa bahawa siapa yang sedang memimpin negara ketika ini dengan bersandarkan ‘kerajaan campuran’.
Apa sahaja yang dibuat oleh kerajaan sudah tiada nilai kebaikan di mata mereka. Semua nampak serba tidak kena di mata mereka.
Pertimbangan kumpulan ini lebih bersandarkan nafsu politik songsang. Mereka tahu siapa yang ada bersama kerajaan dan kumpulan ini juga tahu bahawa siapa yang memimpin kerajaan sekarang.
Tetapi mereka memilih untuk butakan mata. Sudah hilang ‘demi rakyat’, ‘demi UMNO’ dan ‘demi perjuangan’ ABATA. Agama, Bangsa dan Tanah Air. Apa yang merek perjuangkan sebenarnya?
Sepatutnya inilah masa yang sebaiknya untuk tunjukkan kepada rakyat bahawa Perdana Menteri dari UMNO mampu menggalas amanah membawa rakyat dan negara keluar dengan segera dari kemelut bala covid-19 yang merencatkan ekonomi dan keharmonian kehidupan rakyat. Inilah masanya untuk kembalikan kepercayaan rakyat kepada UMNO BN.
Tiga tahun, tiga perdana menteri dan UMNO ada kelebihan apabila perdana menteri yang terakhir sebelum PRU ke 15 adalah dari UMNO. Rugi besar sekiranya masih ada segelintir pemimpin UMNO yang memilih untuk menjadi penghasut.
Jangan sia-siakan peluang yang ada. Jadikanlah kekalahan yang memalukan di PRU-14 sebagai iktibar yang amat berguna untuk kembali bersama meletakkan UMNO di tempat sepatutnya.
Gunalah baki masa yang ada untuk menyokong apa juga keputusan yang dibuat oleh kerajaan yang dipimpin oleh UMNO. Saat sukar seorang pemimpin akan hilang tekanannya apabila semangat kebersamaan kekal wujud.
Yakinlah, tiada siapa pun tahu perancangan Allah meletakkan kembali UMNO BN sebagai pemimpin utama negara ini. Keputusan Allah bukan bersifat ‘saja-saja’.