Langkah Sokong Ismail Sabri Sebagai PM Selepas PRU Tanda Kesepakatan UMNO, Bukan Bunuh Diri
2 min read
Sebagai orang luar yang bukan dalam circle UMNO, lebih elok sesetengah pihak itu duduk diam dan jangan mengulas apa-apa perkembangan yang berlaku berkaitan hal ehwal dalaman parti.
Tambahan pula memberi ulasan berbentuk kritikan yang agak berlebihan berkaitan perjalanan mesyuarat majlis kerja tertinggi sesuatu parti.
Penulis blog Shahbudin Husin hari ini menempelak Tan Sri Annuar Musa yang menyatakan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan diangkat menjadi elemen utama dalam poster Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang selepas ia dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO semalam.
Katanya apa yang diperkatakan oleh Annuar adalah tidak betul dan tidak dibincangkan pun di dalam mesyuarat berkenaan.
Sebenarnya Shahbudin hanya membuat penulisan berdasarkan pemerhatian beliau dan tidak betul-betul berada di dalam mesyuarat berkenaan. Gaya penulisannya pun dilihat berbaur memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH).
Sebenarnya dalam mesyuarat berkenaan, Biro Politik secara sebulat suara dengan sokongan semua Pengerusi Perhubungan Negeri membuat keputusan menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.
Memang benar juga, gambar beliau akan digunakan sebagai elemen utama dalam poster PRU serta akan dipilih untuk menjadi Perdana Menteri selepas PRU15 nanti.
Tarikh untuk diadakan PRU pula akan dicadangkan kepada Perdana Menteri oleh lima pemimpin tertinggi parti seperti Presiden, Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden untuk diputuskan kemudian.
Seperti biasa, jika ada pemimpin UMNO jadi Perdana Menteri serangan akan datan bertali arus dari segenap penjuru mengkritik perkara itu walaupun beliau menjalankan amanah tugasnya dengan baik untuk memperbaiki kehidupan rakyat.
Kata-kata bahawa UMNO ibarat membunuh diri dengan menaikkan elemen Ismail Sabri sebagai “poster boy” hanya kerana ada rasa takut UMNO dan BN bakal menang pada PRU akan datang seperti mana kemenangan besar BN pada PRN Melaka tempoh hari.
Apabila mereka menyedari ada kekuatan dalam perpaduan dalam kalangan ahli parti dan pemimpin UMNO, pihak itu akan mula membuat kritikan untuk semua perkara asalkan ia boleh menggagalkan dan memecahbelahkan UMNO. – SEPATAH DUA