PM Sebut Ada Wakil Rakyat “Hilang” Ketika Banjir Dalam Parlimen
3 min read
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap dalam Mesyuarat Khas Dewan Rakyat di Parlimen hari ini. - Foto ihsan Jabatan Penerangan.
Sesi penerangan mengenai bencana banjir bulan lalu mencetuskan kekecohan di Dewan Rakyat hari ini selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan ada sebahagian wakil rakyat dikesan tidak berada di kawasannya ketika bah melanda.
Kekecohan tercetus selepas beberapa Ahli Parlimen pembangkang bangun mempertikaikan dakwaan Ismail Sabri itu, menyebabkan sesi penerangan oleh Perdana Menteri yang menyentuh mengenai bencana banjir negara bulan lalu, terganggu.
“Polis cari, Ahli Parlimen Shah Alam hilang, dikatakan tiada dalam radar. Tapi kalau ada.. baguslah,” sindir Perdana Menteri, memaksa Khalid Abdul Samad (PH-Shah Alam) kemudian bangun mempertikaikan dakwaan itu, menyebabkan dewan mula kecoh.
Kemudian, Gobind Singh Deo (PH-Puchong) yang bangun mempersoalkan kenyataan Ismail Sabri itu, sebaliknya mendakwa ketika Perdana Menteri turun melawat mangsa banjir di Selangor pun, Ahli Parlimen khususnya pembangkang langsung tidak dijemput.
“Banjir ini hal kecemasan, jadi saya turun tidak bagi tahu Ahli-ahli Parlimen. Tiada jemputan dikeluarkan,” kata Ismail Sabri ketika menjawab persoalan dikemuka Gobind itu, memaksa beberapa Ahli Parlimen pembangkang yang lain bangun mempertikaikan penjelasan balas itu.
“Kita tidak mahu majlis ‘blame game’, majlis (mesyuarat khas) cari penyelesaian, itu yang kita hendak,” celah Mohamad Sabu (PH-Kota Raja), diikuti Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH-Pulai) kemudiannya bangun mencelah meminta Perdana Menteri supaya tidak menyindir mana-mana Ahli Parlimen.
Terdahulu pada sesi penerangannya, Ismail Sabri berkata, banjir di Selangor adalah suatu kejadian luar jangka dan kelemahan yang dikenal pasti di peringkat negeri dan daerah, menyebabkan kerajaan pusat terpaksa campur tangan.
Beliau berkata, umum mengetahui pada tempoh sama, terdapat beberapa negeri lain yang turut dilanda banjir, namun disebabkan jentera pengurusan bencana di peringkat negeri dan daerah di negeri lain adalah teratur dan bersedia, bencana ini dapat dikendalikan dengan baik walaupun terdapat beberapa cabaran.
“Perlu saya tekankan di sini, banjir di Selangor adalah suatu kejadian luar jangka dan berikutan kelemahan yang dikenal pasti di peringkat negeri dan daerah, menyebabkan saya terpaksa campur tangan,” katanya ketika memberikan penerangan mengenai situasi bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini, pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, pada peringkat awal banjir melanda beberapa kawasan di Selangor, agensi penyelamat juga menghadapi kesukaran mendapatkan kerjasama penduduk untuk berpindah segera, biarpun pasukan menyelamat sudah digerakkan lebih awal bagi memindahkan mangsa.
Kebanyakan mangsa memberikan alasan hendak menyelamatkan harta benda, jarak pusat pemindahan sementara (PPS) yang agak jauh dari rumah, bimbang rumah dimasuki pencuri serta bimbang risiko jangkitan COVID-19 di PPS.
“Berikutan itu, apabila paras air naik secara mendadak, ramai penduduk terperangkap dan memerlukan pertolongan segera. Namun, kerja menyelamat menjadi lebih sukar berikutan kenderaan yang terperangkap di jalan utama sehingga menghalang kenderaan penyelamat memasuki kawasan perumahan, sehingga ada keadaan yang mana aset-aset menyelamat terpaksa dipikul ke kawasan terbabit.
“Selain itu, bot-bot penyelamat juga sukar untuk bergerak di dalam kawasan banjir kerana tersangkut pada kenderaan yang tenggelam di kawasan terjejas. Kelewatan kerja-kerja menyelamat juga adalah disebabkan alamat rumah yang diberikan oleh pemanggil tidak dapat dikenal pasti kerana sudah ditenggelami air,” katanya.
Katanya, sokongan aset dan kekuatan anggota penyelamat serta petugas dari lain-lain negeri juga berhadapan kesukaran kerana tidak arif dengan selok belok kawasan ditenggelami banjir dan memerlukan jurupandu, selain sekolah dan fasiliti yang diwartakan sebagai PPS pula turut ditenggelami air.
“Justeru, PPS ‘ad hoc’ diwujudkan seperti penggunaan surau, masjid malahan khemah sementara juga sudah didirikan dengan kadar segera bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir yang diselamatkan.
“Ketiadaan bekalan elektrik dan infrastruktur komunikasi yang terputus akibat banjir, menyebabkan penduduk tidak dapat menghubungi agensi penyelamat untuk bantuan. Inilah antara cabaran yang dihadapi oleh pasukan penyelamat dan petugas di lapangan dalam operasi bencana yang luar biasa ini,” katanya.