September 26, 2022

Pesalah Memandu Mabuk Di Taiwan Dihukum Kerja Bersihkan Rumah Pengebumian

2 min read

Pesalah memandu secara mabuk sedang membersihkan unit peti sejuk yang digunakan untuk menyejukkan mayat di sebuah rumah pengebumian di Taiwan sebagai satu hukuman kesalahan mereka. - Foto Oddity Central.

Pihak berkuasa di Kaohsiung City di Taiwan, memperkenalkan cara yang bijak untuk menghukum pesalah memandu mabuk apabila mereka dikehendaki membersihkan tempat membakar mayat supaya mereka dapat merasa dekat dengan kematian.

Bulan lepas, bandar berkenaan dikejutkan dengan satu kemalangan oleh seorang pemandu mabuk yang menyebabkan seorang lelaki berkeluarga terkorban dan tiga orang lain cedera.

Datuk Bandar, Chen Qimai mengumumkan, sesiapa yang disabitkan kesalahan memandu secara mabuk mesti melakukan hukuman khidmat masyarakat membersihkan rumah pengebumian.

Baru-baru ini, kumpulan pertama 11 orang pesalah memandu mabuk dihantar ke Pejabat Pengurusan Pengebumian Kaohsiung City untuk menjalani hukuman. Mereka menghabiskan beberapa jam membersihkan bilik mayat, peti sejuk menyimpan mayat dan krematorium iaitu tempat membakar mayat.

“Saya membersihkan pintu peti sejuk dan sedar di dalamnya ada mayat.

“Saya belum pernah berada dekat dengan kematian dan keadaan ini membuatkan saya tak selesa. Saya perlu lebih berhati-hati memandu nanti.

“Saya tidak patut mabuk dan kemudian memandu,” kata seorang daripada pesalah yang menjalani hukuman.

Setiausaha Hal Ehwal Awam Yan Qingzhi berkata, pihak berkuasa bandar berkenaan tegas dan tidak berkompromi langsung dalam kesalahan memandu secara mabuk.

Pihak berkuasa mahu pengenalan hukuman seumpama itu seperti membersihkan rumah pengebumian, orang ramai akan lebih peka dan belajar menghormati kehidupan orang lain dan berhenti memandu dalam keadaan mabuk.

Selepas kira-kira 4 jam melakukan kerja khidmat masyarakat, kesemua 11 pesalah meluahkan kekesalan terhadap apa yang mereka lakukan dan tidak akan memandu dalam keadaan mabuk lagi selepas ini.

“Saya tidak sanggup melakukannya sekali lagi,” satu daripada mereka berkata.

Kalau di Malaysia, hukuman apa yang bijak yang boleh dikenakan ke atas mereka? – SEPATAH DUA

Leave a Reply

Your email address will not be published.