March 23, 2023

Selepas Hanyut 27 Jam Di Laut Selepas Tsunami, Lelaki Ini Terselamat

2 min read

Inilah Lisala Folau, 57 tahun, lelaki yang diberi gelaran Aquaman kerana terselamat dari Tsunami di Tonga selepas dihanyutkan di laut dan terapung selama 27 jam.

 

Lelaki ini ialah seorang warga Tonga dan dia berjaya selamat selepas 27 jam hanyut di laut selepas dibadai ombal tsunami yang berlaku hasil letusan gunung berapi bawah laut Hunga Ha’apai pada Sabtu lepas.

Memetik laporan BBC, lelaki yang dikenali sebagai Lisala Folau, 57 tahun, itu telah berpaut pada kayu balak terapung selama 27 jam sebelum akhirnya sampai ke pantai semula.

Folua diberi gelaran sebagai “Aquaman” kerana cerita bagaimana dia terselamat. Dia menceritakan bagaimana dia berasa takut melihat gelombang tsunami menghampirinya tetapi percaya Tuhan akan menyelamatkannya.

“Apabila saya berada di dalam air, kaki saya terasa seperti ‘cacat’ dan tidak berfungsi. Laut terus berpusing dan membawa saya ke bawah air.

“Saya dapat mendengar anak saya memanggil dari darat tetapi saya tidak menjawab kerana tidak mahu dia berenang keluar untuk mencari saya, saya hanya berpusing sambil memegang kayu balak,” kata Folau.

Ujarnya lagi, apa yang terlintas di fikirannya selama berada dalam keadaan cemas itu ialah sama ada dia akan hidup atau mati.

Sementara itu, seramai tiga orang dilaporkan telah terkorban akibat kejadian tsunami itu dan tahap kerosakan juga berada dalam skala yang agak besar.

Susulan keadaan tersebut, beberapa negara turut sama membantu dengan mengerahkan kapal dan penerbangan ke negara itu bagi memberikan bantuan.

Sebuah kapal dari New Zealand tiba di pulau utama, Tongatapu pada Jumaat lalu dan membawa 250,000 liter air dan mempunyai loji penyahgaraman di atas kapal yang boleh menghasilkan sehingga 70,000 liter air bersih setiap hari.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan bahawa bekalan air bersih adalah keutamaan bagi negara Pasifik itu.

Bagaimanapun pihak berkuasa juga mendedahkan bahawa ujian air di pulau utama menunjukkan ia selamat untuk diminum. – SEPATAH DUA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *