August 7, 2022

Kerjaya Sebagai Penebar Roti Canai Pun Boleh Dapat Gaji Lima Angka

2 min read

Kamarul Rizal menebar roti canai di kedai Abang Terbang miliknya di Jalan Bahau - Foto Harian Metro.

Anda percaya tak kalau bekerja sebagai seorang penebar roti canai boleh dapat pendapatan lumayan sehingga cecah lima angka? Ia dikatakan sesuai untuk golongan belia yang pada awalnya kurang berminat dalam akademik.

Walaupun pendapatan boleh cecah lima angka, tapi orang ramai tetap memandang sedikit rendah pada kerjaya ini walaupun pada hakikatnya orang ramai menyukainya kerana dapat merasa roti canai yang sedap.

Difahamkan, permintaan terhadap pekerja penebar roti canai di seluruh Malaysia juga sangat tinggi ketika ini dan ada restoran yang sanggup menawarkan gaji sehingga mencecah RM200 sehari.

Pemilik Restoran Abang Terbang dekat pekan Kuala Pilah di Negeri Sembilan, Kamarul Rizal Kamarudin, 42, kini mampu berbangga apabila pengalamannya selama 22 tahun sebagai penebar roti canai digunakan untuk membuka kedai roti canai sendiri, menurut laporan Harian Metro.

Beliau berkata, dengan kaedah pemasaran melalui laman sosial, dia kini mampu menjual 400 hingga 500 keping roti canai pada hari biasa dan 700 keping roti canai sehari pada hujung minggu.

Menceritakan pengalamannya menceburi bidang menebar roti canai, Kamarul Rizal berkata, dia mula menebar roti canai pada usia 14 tahun ketika bekerja secara sambilan di sebuah restoran.

“Selepas tamat sekolah, saya juga sempat bekerja sebagai penebar roti canai sebelum berguru dengan seorang penebar di Bukit Baru, Melaka bagi mendalami ilmu membuat dan menebar roti canai.

“Selepas dua bulan belajar, saya mula bekerja di sebuah restoran di Paroi, Seremban. Selepas itu saya bekerja di lebih 10 restoran sebagai penebar. Saya juga pernah membuka tiga restoran sebelum ini namun tidak berjaya,” katanya.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, dengan pengalaman jatuh bangun dalam dunia perniagaan makanan, dia membuka Restoran Abang Terbang pada Ogos 2020.

Mengulas mengenai kerjaya itu, Kamarul Rizal berkata, golongan belia yang menganggur dan tidak berminat dalam bidang akademik boleh belajar kemahiran menebar roti canai kerana permintaan terhadap kerjaya ini sangat tinggi.

“Saya mendapat inspirasi daripada seorang penebar yang berjaya meluaskan kerjayanya sehingga ke Brunei dan meraih pendapatan sehingga RM10,000. Ada juga penebar yang melebarkan kerjaya sehingga ke Singapura dan Australia.

“Saya mengajar semua kakitangan untuk menebar roti canai bagi memastikan mereka mempunyai kemahiran itu walaupun tugasnya hanya mengambil pesanan pelanggan,” katanya.

Ulas Kamarul Rizal, baru-baru ini dia dilamar Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani untuk menjadi tenaga pengajar penebar roti canai di akademi yang bakal diwujudkan di negeri ini.

“Ramai yang mempersendakan idea dan usaha yang diberikan YB (yang berhormat) kerana mengganggap ia satu perkara yang melucukan namun ramai yang tidak tahu ilmu itu mampu membantu ekonomi mereka yang berkemahiran,” katanya.

Pekerja restoran Abang Terbang, Nur Atiqah Mohd Salleh, 21, berkata, dia berbangga kerana dengan usianya kini dia sudah mahir menebar roti canai.

Leave a Reply

Your email address will not be published.