Dari Mata Kita : Adakah UMNO Berani Lakukan Pengorbanan Dalam PRN Johor?
2 min read
Selepas terbubarnya Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 23 Januari lepas, lensa tumpuan kini semuanya ke arah Barisan Nasional (BN).
Tambahan pula BN berjaya menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini.
Apa yang akan diperkatakan pastinya wajah siapa yang akan dipilih menjadi calon pilihan raya.
Ada atau tidak parti yang berani melakukan perubahan dengan meletakkan muka baharu?
Begitu juga dengan UMNO dan BN. Sentiasa mencari pembaharuan agar rakyat kembali menerima dan melihat UMNO BN sentiasa relevan.
Di PRN Melaka, UMNO mulakan dengan langkah meletakkan hampir 80% muka baharu dan berjaya menang dua pertiga majoriti kerusi DUN.
Kini di Johor sekali lagi menuntut UMNO BN berani lakukan strategi yang lebih berani kerana parti-parti lawan sudah mula melangkah dengan agresif untuk mengejar mandat rakyat.
Cuma bagi UMNO, keputusan mahkamah baru-baru ini mengarahkan Presiden UMNO, Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membela diri terhadap 47 pertuduhan sedikit sebanyak bakal merencatkan susunan strategi UMNO BN mengejar kemenangan besar di Johor.
Pembangkang bakal menggunakan isu tersebut sebagai modal di sepanjang siri kempen pilihanraya nanti dan tidak boleh dinafikan sedikit sebanyak bakal memberi kesan kepada jentera UMNO BN itu sendiri.
Doktrinisasi ‘pemimpin bersih’ mula bermain di pemikiran pengundi muda dan pengundi yang pertama kali mengundi. Kalau faktor ini diambil kira maka UMNO BN berada di zon yang tidak selesa.
Jika ini diambil kira, adakah Ahmad Zahid sanggup berkorban demi kemenangan PRN Johor.
Anwar Ibrahim sedar akan isu penting ini maka beliau mengambil keputusan awal cuba mengubah persepsi ‘Pakatan Harapan’ yang sudah mula pudar di hati pengundi kepada menggunakan logo parti PKR.
Anwar tahu DAP dan Amanah boleh menang mudah dengan mengekalkan kerusi masing-masing maka kedua parti tersebut kekalkan penggunaan logo Pakatan Harapan. Tambahan pula kerusi PKR lebih banyak berbanding kedua gabungan itu.
Adakah UMNO tidak yakin dengan keputusan Biro Politik Majlis Kerja Tertinggi baru-baru ini yang memutuskan bahawa Perdana Menteri YAB Dato Seri Ismail Sabri sebagai ‘Poster Boy’ di PRU ke 15? Kenapa tidak diuji nama baik Perdana Menteri di Johor?
Tambahan pula Biro Politik MKT UMNO juga membuat keputusan Ismail Sabri adalah calon tunggal Perdana Menteri apabila BN menang di pilihanraya umum itu nanti.
Kesemua pengerusi perhubungan negeri juga turut menyokong keputusan biro ini.
Adakah ‘Berjiwa Besar’ hanya kepada bakal calon sahaja?
Johor kali ini berbeza dengan gelanggang di Melaka.
Jangan menyesal selepas kalah.