MKT UMNO Belum Lagi Adakan Mesyuarat Berkaitan PRN Johor
2 min read
Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO masih belum mengadakan sebarang mesyuarat bagi membincangkan semua hal berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sejak Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan.
Ahli MKT, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dijangka akan mengadakan mesyuarat MKT dalam masa terdekat.
” Kebiasaan, semua perkara berkaitan dgn PRN itu akan dibincangkan dalam mesyuarat MKT itu nanti.
” Namun sebagai ahli MKT , saya percaya Menteri Besar Johor pasti mempunyai alasan dan sebab mengapa PRN Johor wajar diadakan dan semua pihak perlu menghormatinya,” katanya ketika ditemui pada Program Walkabout Sempena Tahun Baharu Cina di Simpang Durian baru-baru ini.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Pertang, Noor Azmi Yusof dan ADUN Sungai Lui , Mohd Razi Mohd Ali.
Jalaluddin berkata semua parti politik boleh menyertai PRN itu bagi membolehkan rakyat negeri Johor memilih kerajaan yang terbaik.
Mengenai ada usul yang mahu Parti Pribumi Bersatu Malaysia ( BERSATU ) menarik sokongan terhadap kerajaan pada hari ini, Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata itu terpulang kepada keputusan yang dibuat oleh kepimpinan parti berkenaan.
“Saya dari UMNO dan tidak mempunyai apa – apa komen mengenai perkara berkenaan disebabkan itu adalah hak dan keputusan mutlak parti berkenaan namun percaya parti itu turut akan mempertimbangkan kepentingan rakyat sebelum membuat keputusan,” katanya.
Sementara itu, Jalaluddin yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan berkata tiada apa yang perlu dirisaukan apabila lebih ramai calon bebas akan bertanding sama ada di Parlimen Jelebu atau Dewan Undangan Negeri ( DUN ) di sini.
Katanya adu domba dan fitnah biasa akan muncul pada setiap kali PRU dan ia berlaku dimana sahaja.
” Jika benar ada ahli dari UMNO yang mahu bertanding sebagai calon bebas, ia tidak akan dapat memecah belah keteguhan ahli kepada parti UMNO,” katanya.