LaLaport Mall : Syurga Baharu bagi Penggemar Shopping
2 min read
Ingatkah anda pada Penjara Pudu? Penjara lama yang siap dibina pada tahun 1895 itu kini berubah wajah menjadi kompleks membeli-belah berkonsepkan gaya hidup dari negara matahari terbit.
LaLaport Bukit Bintang City Centre atau dikenali sebagai LaLaport Mall telah mula dibuka kepada orang awam pada 20 Januari 2022. Bangunan yang berdiri megah itu dibangunkan oleh Mitsui Fudosan Co Ltd dengan kerjasama UDA Holdings Berhad, Eco World Development Group dan Kumpulan Wang Simpanan Bekerja (KWSP).
LaLaport Mall menampilkan keunikan yang berbeza berbanding pusat beli-belah sedia ada di Malaysia. Dengan mengetengahkan tema ‘Modern Simplicity’ dan ‘Japanese flavour’, LaLaport Mall bakal menjadi tumpuan pelancong tempatan dan luar negara.
LaLaport banyak memperkenalkan produk-produk Jepun dan bertaraf antarabangsa. Dengan keluasan sebanyak 82,600 meter persegi, Lalaport Bukit Bintang City Centre menjadi LaLaport pertama yang dibangunkan di Asia Tenggara. Ianya menempatkan hampir 400 lot kedai yang dibuka secara berperingkat.
LaLaport ini mengangkat jenama-jenama baharu yang dibawa khas dari Jepun seperti Nitori, Nojima dan Don Donki.
LaLaport Mall telah menjadi sebuah tarikan yang menarik sejak dibuka. Reka bentuk yang eksklusif, moden serta gabungan budaya Jepun dan Malaysia menjadikan pusat beli-belah ini kelihatan gah dari seni bina dan dekorasinya.
Kemudahan pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan (LRT) dan monorel memudahkan orang awam untuk mengunjungi LaLaport Mall.
Tarikan ‘Central Rooftop Garden’ yang menempatkan taman di aras atas membolehkan pengunjung menikmati pemandangan bandaraya Kuala Lumpur. Ruang ‘Depachika Marche’ dan ‘Gourmet Street’ membolehkan pengungjung membeli dan menikmati juadah ala-ala orang Jepun.
Lalaport Mall telah menyediakan sebuah aplikasi yang boleh dimuat turun oleh setiap pengunjung pada telefon bimbit mereka.
Selain dapat mengakses maklumat berkaitan LaLaport Mall secara langsung, pengunjung berpeluang menebus ganjaran dan bonus yang hebat sambil berbelanja.
Marilah kita bersama-sama memeriahkan pusat beli-belah gaya hidup dari Jepun. ‘LaLaport Mall’ membolehkan anda merasa membeli belah seperti di Jepun. – SEPATAH DUA