September 27, 2023

Malaysia di persada Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022

2 min read

 

Kontinjen Malaysia kelihatan mengorak langkah dengan penuh semangat dalam upacara pembukaan temasya Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 Beijing.

Sukan Olimpik Musim Sejuk telah bermula pada 4 Februari dan dijangka melabuhkan tirainya pada 20 Februari. Upacara pembukaan yang diadakan di Stadium Nasional, Beijing menyaksikan perbarisan masuk daripada pelbagai kontinjen negara. Malaysia yang merupakan kontinjen negara kelima berarak masuk ke dalam Stadium Nasional yang turut dikenali sebagai Stadium Sarang Burung.

Sebanyak 91 buah bendera mewakili negara masing-masing dilihat berkibaran megah di perkarangan stadium.

Dua atlet sukan negara, Aruwin Salehhuddin dan Jeffrey Web mengetuai perarakan masuk. Bendera Jalur Gemilang diarak bersama menandakan Malaysia siap sedia untuk bersaing dalam temasya sukan yang sedang berlangsung.

Aruwin yang merupakan peluncur alpine ski negara menjadi atlet wanita pertama mewakili Malaysia dalam acara Giant Slalom wanita dan Slalom wanita. Kehadiran ayahnya, Salehhuddin Ayob yang merupakan pengurus kontinjen negara menjadi dorongan kepada Aruwin untuk beraksi dengan lebih cemerlang.

Atlet negara, Jeffrey Web pula akan beraksi dalam acara Slalom lelaki pada 16 Februari nanti. Beliau yang dahulunya pernah menyertai Sukan Olimpik Musim Sejuk tahun 2018 tidak berputus asa dan bangkit bertanding bagi meraih pencapaian yang membanggakan kepada negara Malaysia.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Norza Zakaria berkata, “Pihak MOM akan sentiasa memberikan sokongan kepada atlet negara yang beraksi dalam temasya sukan ini.

Walapun Malaysia bukanlah sebuah negara yang berada dalam iklim empat musim, tetapi kita sudah membuktikan dua kali bahawa atlet kita mampu bertanding dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk. Pelan jangka masa panjang perlu dilakukan demi memastikan kecemerlangan atlet-atlet tersebut.”

Semoga kejayaan mengiringi Aruwin dan Jeffrey. Kami akan sentiasa menyokong perjuangan anda dalam medan sukan ini. – SEPATAH DUA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *