August 9, 2022

Permainan Tradisional Mengusik Kenangan

2 min read

Masihkah anda ingat zaman kecil dahulu? Di mana kita semua riang gembira bermain bersama rakan sebaya. 

Memori yang mengusik jiwa seseorang  tentulah kenangan zaman kanak-kanaknya. Zaman di mana kita hanya tahu bergembira tanpa memikirkan masalah-masalah dunia.

Ingatkah anda pada permainan Police Entry. Bermula dengan lagu yang dinyanyikan, sang polis dikehendaki menangkap si pencuri. Permainan Galah Panjang pula menguji kepantasan kanak-kanak melepasi halangan kawannya sendiri.

Batu Seremban merupakan permainan yang sinonim dengan budak perempuan. Ada negeri yang menggunakan lima batu, ada juga yang menggunakan tujuh batu. Terdapat buah melayu,  buah cina dan buah india. Jenis buah yang berbeza merangkap cara permainan yang berbeza.

Permainan Ting Ting memastikan kanak-kanak kecil melompat kotak-kotak yang tersedia dengan jayanya sebelum mara ke peringkat yang lebih tinggi.

Lagu ‘Nenek-nenek Si Bongkok Tiga’ sentiasa mendapat perhatian dari generasi ke generasi seterusnya. Permainan ini bermula apabila sang nenek dikehendaki menangkap cucu yang menyorokkan diri. Cucu akan mengelilingi nenek dan menyanyikan lagu beramai-ramai. Cucu yang ditangkap pula akan menjadi nenek si bongkok tiga.

Permainan Lompat Tali boleh dimainkan bersama jiran tetangga. Tali panjang diperbuat dari cantuman getah dalam bilangan yang banyak. Nyanyian lagu ‘Rumah terbakar panggil bomba’ akan kedengaran setiap kali tali diputarkan. Permainan ini seronok dimainkan beramai-ramai.

Pelbagai lagi permainan tradisional yang sangat digemari kanak-kanak. Tuju tin, Tarik Upih, Baling Selipar, Gasing, Congkak, Layang-layang dan macam-macam lagi.

Permainan inilah yang membentuk sebuah persahabatan. Permainan ini yang mengeratkan persaudaraan.

Walau dunia sudah semakin berubah, jangan biarkan permainan tradisional hilang ditelan zaman. Ini kerana ianya membawa sebuah memori. Kenangan kita bersama kawan-kawan. – SEPATAH DUA

Leave a Reply

Your email address will not be published.