September 28, 2022

Ismail Sabri Ada Kelebihan Pegang Jawatan Pengerusi Barisan Nasional?

2 min read

Pengundi pada pilihan raya di negara ini tidak terdiri daripada ahli parti tetapi ia datang dari segenap lapisan masyarakat dan pelbagai peringkat umur. Tambahan pula selepas ini pada pilihan raya akan datang mereka yang berumur 18 tahun ke atas pun sudah boleh mengundi.

Mereka yang boleh mengundi pada masa ini sudah bijak menilai dari segi kesan perkhidmatan sesebuah parti ke atas pengundi dan orang ramai serta mereka sudah arif dalam membuat pilihan pada hari mengundi nanti.

Pengundi sudah boleh membuat keputusan memilih melalui gaya kepimpinan terutama apabila pemimpin utama negara yang mewakili parti tertentu. Jawatan perdana menteri menjadi titik fokus penting, adakah selama menjadi perdana menteri, rakyat dan negara terbela?

Bagi UMNO dan Barisan Nasional (BN), inilah peluang terbaik setelah kalah pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Ketika ini, untuk berdepan PRU15 akan datang pemimpin yang memegang jawatan sebagai Perdana Menteri ialah dari UMNO.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipilih melalui proses persetujuan Ahli Parlimen setelah Muhyiddin Yassin gagal mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli parlimen.

Walaupun baharu saja tiga bulan memimpin negara, rakyat sudah boleh menilai bagaimana dan apa yang beliau lakukan selama menjawat jawatan nombor satu negara.

Segala permasalahan rakyat terutama yang terkesan dengan pendemik covid19 diselesaikan dengan perancangan yang rapi agar di waktu yang sama ekonomi negara tidak terencat.

Segala bentuk bantuan untuk seluruh peringkat masyarakat diberikan agar tiada yang tertinggal dari radar keperihatinan kerajaan.

Tragedi banjir yang melanda tanpa disangka juga dapat diuruskan dengan baik sehinggakan wujudnya bantuan yang tidak pernah dihulurkan oleh kepimpinan negara sebelum ini.

Ini semua sebagai pengukur kewibawaan sesebuah parti dan Ismail Sabri berjaya mendapat perhatian rakyat dalam masa yang singkat.

Betapa ruginya UMNO dan Barisan Nasional sekiranya faktor utama fokus pengundi ini tidak diambil peluang secara serius. Rakyat melihat kepimpinan negara dan bukannya kepimpinan parti. Hakikat ini perlu diterima dengan hati yang terbuka dan jiwa yang begitu besar bagi ahli parti.

Zaman informasi di hujung jari dengan kepantasan capaian berita sepantas kelajuan cahaya, parti politik sudah tidak boleh lagi menipu rakyat. Sekali mungkin boleh namun kali kedua adalah sangat mustahil.

Inilah saatnya Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi wajar meletakkan apa yang perlu diutamakan. Sebagai ahli politik yang sudah begitu matang dan berjiwa besar, menyerahkan jawatan Pengerusi Barisan Nasional kepada Perdana Menteri bukan sahaja satu pengorbanan tetapi satu strategi untuk teruskan momentum UMNO dan BN kembali mendapat kepercayaan rakyat.

Peralihan kuasa tertinggi BN ini bakal mencerminkan bukan sahaja sikap berkorban demi parti tetapi sebuah perakuan nyata bahawa Zahid merupakan pemimpin yang berlapang dada dan meletakkan kepentingan parti melebihi peribadi beliau.

Jawatan lantikan tersebut memudahkan Perdana Menteri untuk merangka satu gerakerja bersepadu antara komponen bagi UMNO dan BN memenangi PRU15 nanti.

Leave a Reply

Your email address will not be published.