Nasihat Hidup Yang Kadang Dilupakan
2 min read
Semua orang perlukan nasihat sebagai petunjuk. Nasihat inilah yang membentuk kita menjadi individu yang berguna.
Vikash Mishra, seorang pengguna ‘Facebook’ telah berkongsi beberapa nasihat berguna pada laman muka buku miliknya. Antara nasihat tersebut:
1. Jangan pernah menghubungi seseorang lebih dua kali berturut-turut. Jika talian tak diangkat, mungkin mereka mempunyai urusan lain.
2. Sila pulangkan barang-barang yang pernah dipinjam seperti duit, payung atau pen. Pulangkan sebelum pemilik barang meminta haknya semula. Sikap ini melambangkan peribadi dan integriti diri yang sebenarnya.
3. Jangan memilih menu yang mahal ketika seseorang membelanja kamu makan.
4. Jangan pernah tanya soalan yang sensitif seperti ‘Dah Kahwin?’, ‘Anak berapa orang?’ atau ‘Dah ada rumah?’. Jaga air muka masing-masing. Bukan semua orang suka berkongsi perihal sedemikian.
5. Jika kamu membuka pintu masuk dan terdapat orang di belakang kamu, sila bukakan pintu untuk mereka sekali. Tidak kira siapapun mereka, berbuat baiklah kepada semua.
6. Jika kamu naik teksi bersama kawan dan dia membayarnya, cuba untuk bayar tambang teksi pada waktu lain pula. Buat baik, dibalas baik.
7. Sentiasa meraikan pandangan dan idea orang lain. Jangan pernah mengatakan pendapatnya tidak bagus. Mungkin, idea mereka lebih baik dari kita.
8. Jangan pernah menyampuk orang lain bercakap. Biarkan mereka selesai berkata-kata. Kemudian, kita pula berbicara.
9. Jika kamu suka mengacau seseorang dan jelas riak wajahnya tidak suka, berhenti! Jangan pernah mengulangi semula.
10. Sila ucapkan ‘Terima Kasih’ kepada sesiapa sahaja yang menolong kamu hatta pada hal sekecil-kecilnya.
11. Jika kamu ingin memuji seseorang, boleh lakukan di depan orang ramai. Tetapi, jika kamu ingin mengkritiknya, lakukan di tempat yang tertutup. Pujian dihebahkan dan aib biarlah ditutup rapat.
12. Jangan pernah mengutuk berat seseorang. Kamu mungkin tak tahu dia sedang berusaha untuk turunkan berat badan.
13. Jika seseorang tunjukkan kamu gambar di telefon bimbitnya, jangan pernah buka gambar yang seterusnya.
14. Layan semua orang sama rata tidak kira dia CEO atau mak cik tukang cuci. Kita semua berhak mendapatkan layanan yang sama rata.
15. Jika seseorang sedang bercakap dengan kamu, jangan main telefon. Pandang wajahnya. Adab sentiasa kena jaga.
16. Jangan pernah menyibuk urusan orang lain, melainkan kita diminta untuk membantu.
Kadang-kala, nasihat seperti ini dianggap remeh. Namun, bukan semua mampu menerimanya. Yang baik jadikan teladan, yang buruk ditinggalkan. Jangan pernah lupa untuk berbudi bahasa sesama manusia. – SEPATAH DUA