Ulat Habuk, Kecil Tapi Berbahaya
1 min read
Haiwan kecil ini sering dilihat di dinding-dinding rumah. Kadang kita menyangka ianya adalah habuk semata. Tetapi sebenarnya, ulat kecil ini boleh menyebabkan kegatalan dan bengkak pada kulit manusia.
Ulat habuk atau kamitetep turut dikenali dengan nama saintifiknya ‘Phereoca uterella’. Hasil dari gigitannya yang halus, boleh menyebabkan kita diserang bengkak, benjol dan gatal dalam tempoh yang lama.
Ulat ini akan meninggalkan bulu pada tempat yang disengat. Bulu inilah penyebab kepada bengkak dan lebam. Malah, ianya boleh mengakibatkan kegatalan dan rasa sakit pada badan. Rasa gatal itu pula boleh dirawat dengan menyapu ubat gatal.
Serangga kecil ini seperti habuk, melekat di dinding rumah ataupun almari kayu. Ulat ini makan jaring labah-labah, bangkai serangga kecil, rambut-rambut gugur dan fabrik.
Spesis ulat ini merupakan kelompok larva sebelum bertukar menjadi kupu-kupu.
Larva di dalamnya membentuk cengkerang yang membentuk sarung upih. Kepompongnya di bahagian luar pula digunakan dalam proses metamorfosis menjadi kupu-kupu.
Kepompong itu diperbuat daripada serat sutera yang dicampur pasir dan debu. Ada juga kepompong diperbuat dari tanah.
Kepompong ini mempunyai jalan keluar dan masuk. Ia memudahkan ulat ini keluar mencari makan. Ulat habuk ini hanya keluarkan separuh badannya dari kepompong ketika mencari makan.
Larva ini akan menjadi kupu-kupu sepanjang 13 milimeter. Induk ulat ini boleh menghasilkan hampir 200 biji telur dalam satu kitaran. Telur yang menetas akan menjadi larva dan menghuni kediaman manusia. Begitulah kitaran hayat ulat habuk.
Walaupun ulat ini kecil, tapi ianya mampu membawa kesakitan kepada manusia. Awasilah rumah anda dari spesis ulat ini. Kalau terjumpa, berjaga-jaga! – SEPATAH DUA