October 3, 2023

Laba Garlic: Jeruk Bawang Putih Yang Sedap

2 min read

 

Siapa yang selalu mengikuti kisah viral sekarang, mesti mengetahui kewujudan jeruk ini. Jeruk bawang putih yang turut dikenali dengan Laba Garlic menjadi satu menu yang mesti dicuba bagi peminat-peminatnya.

Laba Garlic atau Laba Suan, merupakan jeruk bawang putih yang direndam dengan campuran air, garam, gula dan cuka. Disimpan di dalam bekas selama beberapa hari sebelum ianya bertukar warna.

Prosesnya sama seperti membuat jeruk yang lain. Namun, uniknya jeruk ini adalah ia diperbuat daripada bawang putih. Ianya sangat rangup dan sedap dimakan. Boleh dimasukkan ke dalam makanan sebagai penambah rasa.

Di Kelantan, pemakanan jeruk bawang putih sudah lama diamalkan. Ada yang makan bersama nasi kerabu dan kerabu sotong. Ada juga yang menjadikan bahan sampingan dalam pembuatan roti hotdog dan menu lain.

Rasanya  sangat ‘crunchy’, sedap dan masam-masam manis. Sangat sesuai untuk dimakan bersama hidangan lain. Anda juga boleh menjadikannya sebagai kudapan dan pemanis mulut.

Laba Garlic ini sebenarnya berasal dari negara China. Jika anda selalu tengok mukbang dari negara tersebut, pasti mudah untuk kenal pasti akan populariti jeruk bawang putih dalam makanan negara China.

Laba Garlic merupakan makanan ringan tradisional yang dibuat pada Festival Laba. Ianya sangat terkenal di China Utara. Festival ini disambut pada hari ke 8 bulan 12 dalam kalendar lunar. Laba Garlic menjadi makanan tradisi yang masih dibuat dari generasi ke generasi sekarang.

Cara membuatnya yang mudah pasti membolehkan warganet mencuba di rumah. Pelbagai resepi dapat dilihat dikongsi bersama di laman sosial. Bahan asas untuk membuat jeruk seperti cuka, air, garam dan gula diperlukan.

Yang paling seronok untuk dilihat, bawang putih itu akan berubah menjadi warna hijau seperti jasper zamrud setelah direndam beberapa hari. Ianya boleh dinikmati dalam aneka juadah. Kini, anda boleh mencuba membuatnya di rumah. – SEPATAH DUA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *