September 28, 2022

Pokok Berusia 135 Tahun Tumbang di Taman Tasik Taiping

2 min read

 

Negara kita sedang mengalami musim hujan hampir di seluruh negeri. Hujan turun disertai dengan kilat memancar dan ribut petir. Keadaan cuaca yang sedemikian mengakibatkan tumbangnya sebatang pokok di Taman Tasik Taiping, Perak.

Pokok tua itu dikenali dengan nama saintifiknya, Samanea Saman. Ianya berusia hampir 135 tahun. Pokok itu telah menghiasi landskap Taman Tasik Taiping bertahun lamanya sebelum tumbang pada Selasa lalu.

Ketidakstabilan struktur pokok yang condong dan  faktor cuaca menjadi sebab tumbangnya pokok besar ini.

Kawasan sekitar pokok tumbang itu ditutup dengan pita keselamatan. Orang awam dilarang mendekati dan melakukan apa-apa terhadap pokok tersebut untuk mengelak sebarang kerosakan.

Majlis Perbandaran Taiping (MPT) mengesahkan kejadian tersebut. MPT berusaha untuk menyelamatkan pokok yang tumbang itu dengan kadar segera. Pokok itu akan ditegakkan, dahan-dahan dipangkas dan akar serta tanah di kawasan berkenaan akan dirawat.

Pokok itu akan menjalani tempoh pemantauan dan penyelenggaraan selama 12 bulan sehingga pulih seperti sediakala.

Pokok Samanea Saman juga dikenali dengan nama Pokok Hujan-Hujan. Ianya berbentuk seperti payung, membiak dengan pantas dan mudah dijaga. Pokok ini telah menghiasi laluan Raintree Walk, Taman Tasik Taiping sehingga menjadi tarikan kepada warga tempatan mahupun pelancong antarabangsa untuk berkunjung ke sana.

Pokok Hujan-Hujan ini setia menaungi Taman Tasik Taiping bertahun lamanya. Pelbagai inisiatif dilakukan oleh Majlis Perbandaran Taiping untuk mengekalkan keindahahan flora di taman tersebut.

Taman Tasik Taiping dahulu adalah sebuah lombong sebelum menjadi taman rekreasi. Taman ini dibina pada zaman pemerintahan British dan mula dibuka kepada orang awam sekitar tahun 1880.

Usaha memelihara dan memulihara diperlukan demi mengekalkan keindahan taman tasik, bandar warisan Taiping. Moga dengan usaha-usaha ini, rimbunan pokok-pokok hijau masih dapat dinikmati generasi kita pada masa hadapan. – SEPATAH DUA

Leave a Reply

Your email address will not be published.