August 9, 2022

Perdana Menteri Tonjol Manifestasi Martabat Bahasa Kebangsaan Di Persada Dunia

2 min read

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerima salam hormat daripada Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-ocha selepas mengadakan sidang media bersama ketika lawatan kerja Ismail ke Thailand pada 25 Februari lepas. - Foto REUTERS.

 

Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh…

Kenyataan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai penggunaan Bahasa Melayu ketika di Thailand baru-baru ini menonjolkan manifestasi dalam usaha memartabatkan Bahasa Kebangsaan di persada dunia.

Cetusan dan komitmen beliau ini sekali gus perlu dijadikan panduan dan titik tolak untuk kita sama-sama berganding bahu menjulang bahasa ibunda kebanggaan rakyat Malaysia.

Justeru itu, saya tanpa berbelah bagi menyokong penuh hasrat YAB Perdana Menteri untuk menyebar luas penggunaan Bahasa Melayu termasuk ke segenap pelusuk nusantara.

Saranan yang diberikan YAB Perdana Menteri memperlihatkan beliau merupakan seorang pemimpin yang amat cakna, berwawasan jauh dan mempunyai semangat nasionalisme tinggi untuk melihat bahasa kebangsaan itu terus mendapat pengiktirafan bukan sahaja di peringkat ASEAN malah ke serata dunia.

Pada masa sama, gesaan YAB Perdana Menteri itu juga boleh dijadikan rujukan terbaik untuk menyatupadukan rakyat pelbagai etnik di rantau ini khususnya orang Melayu melalui penggunaan bahasa yang menjadi kebanggaan mereka.

Sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 152, Perlembagaan Malaysia memperuntukkan Bahasa Kebangsaan di Malaysia ialah Bahasa Melayu, jadi pemimpin lain tidak perlu berasa malu atau kekok untuk menggunakan bahasa Melayu ini untuk menyampaikan ucaptama dalam sesuatu program bertaraf antarabangsa.

Akhir kalam, sudah tiba masanya untuk kita mengorak langkah dalam usaha murni ini dengan meluaskan lagi penggunaan bahasa kita dalam pelbagai aspek urusan sama ada di pentas tempatan atau antarabangsa seperti yang diteladani YAB Perdana Menteri.

Gunakan kesempatan ini untuk memperkenalkan kita di mata dunia dan bersamalah kita menyambut baik usaha yang di gerakkan YAB Perdana Menteri demi memastikan martabat Bahasa Melayu terus di sanjungi.

Ini merupakan percapaian dan kejayaan pertama seorang Perdana Menteri yang mampu merealisasikan perjuangan bahasa dengan jelas dan bukan sekadar slogan.

Bahasa jiwa bangsa.

ZALUZI SULAIMAN

Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa

Leave a Reply

Your email address will not be published.