March 23, 2023

Laut Terbelah Tarikan Baharu Di Langkawi

2 min read

Fenomena ‘Laut Terbelah’ telah berlaku di Pantai Tanjung Rhu, Langkawi pada 3 dan 4 Mac yang lalu. Fenomena yang jarang ditemui ini berpotensi menjadi sebuah tarikan istimewa di Langkawi. 

Kejadian air surut penuh yang menampakkan laut terbelah dua membolehkan pengunjung berjalan di beting pasir. Kemunculan habitat laut seperti ketam, sotong kurita, ikan sebelah dan siput dapat dilihat sepanjang menyusuri beting ini. Bukan itu saja, tapak sulaiman dan batu karang juga dapat ditemui sepanjang kejadian ini berlangsung.

Seramai 300 orang pengunjung berjalan di atas beting pasir sejauh 600 meter pada hari kejadian. Fenomena itu berlaku dalam tempoh satu jam di mana air mulai surut di kawasan beting sehingga paras 0.1 meter.

Pengunjung dapat berjalan di kawasan tersebut menuju ke Pulau Chabang dan Pulau Kelam Baya sambil menikmati suasana pagi yang segar. Mereka juga dapat menikmati keindahan matahari pagi yang terbit dari pulau di sini.

Para pengunjung akan dipandu oleh penasihat alam semula jadi sepanjang berjalan di atas beting pasir. Menurut salah seorang pemandu pelancong alam semula jadi, Zoher Mustan, berkata, beliau akan sentiasa berpesan kepada pengunjung untuk tidak menyentuh dan menganggu habitat laut tersebut. Bahkan, pengunjung juga tidak dibenarkan membawa pulang hidupan marin itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Mutalib, tidak ketinggalan untuk turut serta dalam aktiviti tersebut. Menurut beliau, fenomena ini boleh dipromosikan dengan lebih meluas kepada pelancong tempatan dan luar negara.

‘Laut Terbelah’ ini akan menjadi acara tahunan. Ianya menjadi tarikan baharu yang hanya boleh dinikmati di Pantai Tanjung Rhu, di sini. Kejadian alam ini akan menjadikan Langkawi lebih istimewa di persada antarabangsa – SEPATAH DUA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *