Perpaduan Luar Biasa Dituntut Dalam UMNO Di Semua Peringkat Untuk Hadapi PRU15
2 min readPerpaduan yang kuat dan utuh di semua peringkat di dalam UMNO adalah satu formula besar untuk parti menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan menjadikan UMNO sebagai parti yang dihormati oleh semua pihak.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata pada setiap edisi Perhimpunan Agung UMNO (PAU), perkara berkaitan perpaduan parti sentiasa ditekankan oleh para pemimpin UMNO dalam ucapan mereka khususnya ucapan Timbalan Presiden dan Presiden.
“Setiap tahun apabila persidangan agung UMNO, tentunya isu perpaduan tidak tertinggal daripada menjadi agenda kepada semua jurucakap tetapi kali ini, perpaduan yang dituntut adalah perpaduan yang luar biasa.
“Perpaduan bukan sahaja di peringkat kepimpinan tertinggi malah sampai ke peringkat akar umbi.
“Perpaduan luar biasa ini akan menjadikan UMNO ini sebagai parti yang dihormati oleh semua orang, semua rakyat Malaysia dari pelbagai kaum dan bangsa,” katanya ketika ditemui ketika PAU berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Selain itu, beliau berkata intipati pada PAU yang diadakan berkenaan untuk menjadikan perhimpunan berkenaan sebagai medan mempersiapkan jentera bagi menghadapi PRU15.
Beliau berkata, jentera UMNO sudah diuji ketika Pilihan Raya Kecil dan Pilihan Raya Negeri dan kemenangan berpihak kepada UMNO di bawah Barisan Nasional (BN).
“Walaupun kemenangan berpihak kepada UMNO, post-mortem yang dilakukan menunjukkan beberapa kelemahan yang masih ada di peringkat jentera akar umbi malah di peringkat jentera tertinggi.
“Jentera perlu disiapkan di peringkat akar umbi, di peringkat perhubungan, di peringkat bahagian malah di peringkat cawangan dan PDM sendiri,” katanya.
Jalaluddin yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan berkata jika para perwakilan bawa petua ini ke peringkat akar umbi, UMNO tidak akan ada masalah untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Selain membincangkan soal kekuatan parti, soal masa depan, soal agenda dan politik Melayu, hubungan kerjasama antara kerajaan dan parti itu dapat diperkuatkan, menurutnya.
“Mana-mana pemimpin UMNO yang mewakili UMNO yang memegang jawatan tertinggi di peringkat kementerian mestilah menjalankan tugas dan tanggungjawab semaksima mungkin untuk mendatangkan keyakinan semula kepada rakyat, bukan sahaja kepada ahli UMNO tetapi juga kepada rakyat di negara ini,” kata Jalaluddin.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata sejak pemimpin dari UMNO memegang jawatan Perdana Menteri, perkhidmatan dan urusan berkaitan rakyat di kementerian semakin bertambah baik.
“Ini adalah kerana pemimpin yang diberi mandat memimpin kementerian ialah pemimpin dari UMNO dan Barisan Nasional adalah pemimpin yang berpengalaman selama ini.
“Inilah keistimewaan dan keindahan UMNO BN,” katanya.
Jalaluddin berkata semua pihak berharap kerajaan akan melipatgandakan lagi usaha meningkatkan kesejahteraan dan pembelaan kepada rakyat. – SEPATAH DUA