August 7, 2022

Selamat Ulang Tahun P Ramlee

2 min read

Tanggal 22 Mac menjadi tarikh Sambutan Hari Seniman Negara. Tarikh ini telah ditukar daripada 29 Mei kepada 22 Mac; sempena hari lahir seniman agung terulung ‘P Ramlee’.

Beliau bernama Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh @ Ramlee bin Puteh. Turut dikenali dengan nama pentasnya, P Ramlee. Beliau dilahirkan di Georgetown, Pulau Pinang pada tahun 1929.

P Ramlee mula terlibat dalam industri seni apabila menjuarai pertandingan nyanyian yang dianjurkan Radio Malaya. Bakatnya yang terserlah membuatkan Pengarah BS Rajhans menjemputnya menyertai Malay Film Productions (MFP).

Karier P Ramlee sebagai seorang artis berkembang apabila beliau mula berlakon dalam filem Chinta (1948). Beliau turut mengasah bakat nyanyiannya apabila menjadi penyanyi utama orkestra Radio Malaya. Kewibaan P Ramlee membolehkan beliau menyandang watak pelakon utama dalam drama terbitan MFP Production ketika itu.

Di sebalik layar seorang seniman

Filem Penarek Becha (1955) menyaksikan P Ramlee sebagai pelakon, penulis lagu dan pengarah filem. Bermula detik itu, P Ramlee berjaya menjulang namanya dengan lebih gah di persada antarabangsa.

Beliaulah pelakon, penyanyi, penulis dan penggubah lagu, pelawak serta pengarah filem. Sepanjang hidupnya, P Ramlee telah berlakon dalam 66 filem; yang mana 35 judul di bawah arahannya. Beliau berjaya mencipta sebanyak 250 lagu.

Banyak anugerah yang diperolehi P Ramlee sepanjang penglibatannya dalam industri perfileman. Antaranya, filem ‘Anakku Sazali (1956) mengangkat P Ramlee sebagai Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Asia ke-4 yang diadakan di Tokyo.

Pada Festival Filem Asia ke-10, beliau berjaya memenangi anugerah ‘Most Versatile Talent’ menerusi filem arahannya ‘Ibu Mertuaku’.

P Ramlee terima anugerah ‘Most Versatile Talent’

Setelah sekian lama berhempas pulas berpusat di negara jiran, P Ramlee memindahkan studionya dari Studio Jalan Ampas, Singapura ke Studio Merdeka, Kuala Lumpur. Pada tahun 1986, Pustaka Peringatan P Ramlee dibuka di tapak bekas kediamannya di Setapak, Kuala Lumpur.

Kini, walaupun sudah berpuluh tahun P Ramlee meninggalkan kita, filem yang dilakonkan beliau tetap segar tersemat dalam ingatan kita. Sesungguhnya, P Ramlee adalah permata di antara permata. – SEPATAH DUA

Leave a Reply

Your email address will not be published.