August 9, 2022

Bukan Sikit-Sikit, Rugi RM605,000 Akibat Ditipu Macau Scam

2 min read

Seorang pegawai bank rugi besar selepas terpedaya dengan modus operandi licik Macau Scam apabila menyerahkan wang RM605,000 kepada sindiket berkenaan.

Difahamkan, wanita berusia 53 tahun pada mulanya mendapat panggilan daripada seorang individ mendakwa ejen insurans yang memaklumkan namanya digunakan untuk membuat tuntutan pampasan satu kes kemalangan, penghujung Januari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani, berkata mangsa disambungkan ke beberapa individu sehingga namanya didakwa terbabit dengan pengubahan wang haram.

“Wanita itu mendapat panggilan kononnya daripada ibu pejabat satu syarikat insurans pada 26 Januari lalu yang memperkenalkan diri sebagai ‘Suraya Sani’ dan mendakwa ada individu membuat tuntutan pampasan kemalangan RM68,800 menggunakan nama mangsa.

“Mangsa memaklumkan tidak mempunyai sebarang insurans sebelum disambungkan kononnya ke Balai Polis Pudu dan bercakap dengan ‘Sarjan Hairul Mohd Musa’ menggunakan talian 03-92850222,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, lelaki mendakwa sarjan itu mengaku daripada Bahagian Siasatan Jenayah, memberitahu mangsa bahawa maklumatnya sudah terdedah dan berkait dengan satu kes jenayah komersial di Sabah.

“Lelaki itu kemudian menyambungkan panggilan kepada ‘Inspektor Azrai’ yang memaklumkan mangsa terbabit dalam kegiatan pengubahan wang. Mangsa selepas itu disambungkan pula kepada seorang individu, kononnya penolong pendakwa raya bernama ‘Mastura’ di talian 011-39462446 dan ditunjukkan waran tangkap,” katanya.

Aibee berkata, mangsa membuat laporan polis semalam dan hasil siasatan awal mendapati dia mengeluarkan wang daripada akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) sebanyak RM425,000 dan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM180,000 yang dimasukkan ke dalam satu akaun bank.

“Mangsa yang terpedaya dengan sindiket sudah mendedahkan maklumat akaun itu kepada suspek menyebabkan semua wang lesap. Berikutan itu, siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.