January 30, 2023

Kementerian Wilayah Persekutuan Guna Tiga Pendekatan Atasi Banjir Dan Tanah Runtuh

2 min read

Kementerian Wilayah Persekutuan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menggunakan tiga pendekatan untuk memastikan kejadian banjir dan tanah runtuh di Kuala Lumpur dapat diatasi dengan berkesan.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata tiga pendekatan berkenaan ialah tindakan serta-merta, jangka pendek dan jangka panjang.

“Kementerian melalui DBKL sentiasa memastikan kesiapsiagaan menjadi hal utama di dalam menghadapi perubahan iklim semakin ekstrem,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen PKR-Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad untuk pertanyaan jawab lisan pada sesi sidang Dewan Rakyat semalam.

Bagi tindakan serta-merta, beliau berkata bagi bencana banjir DBKP akan mengambil tindakan segera untuk membersihkan halangan dalam saluran ke longkang di tepi jalan jika berlakunya banjir.

“Pengurusan trafik semasa berlakunya banjir, dikawal oleh pihak DBKL dengan bantuan PDRM, JPS, BOMBA, JKM dan APM untuk melancarkan trafik.

“DBKP juga akan membuat pemantauan melalui CCTV yang dipasang sekitar Kuala Lumpur melalui Kuala Lumpur Command and Control Centre untuk memantau dan mengenalpasti lokasi yang terlibat dengan banjir untuk menghantar bantuan awal,” katanya.

Jalaluddin menyatakan sebanyak 4,000 unit kamera telah dipasang dan sehingga bulan Jun akan siap dipasang dengan tambahan 1,000 unit.

Bagi kejadian tanah runtuh, beliau yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata tindakan awalan melalui pembersihan sisa runtuhan bagi semua runtuhan termasuk kawasan persendirian untuk kawalan keselamatan, katanya.

Menurut beliau, bagi kawasan persendirian, kerja pembaikan pasca pembersihan akan dilakukan oleh pemilik tanah sendiri.

“Antara tindakan yang akan dilakukan ialah memasang plastik kanvas bagi cerun yang terdedah, menutup dan membuat lencongan trafik, mengepung kawasan runtuhan dan membina lencongan aliran air sementara untuk mengelakkan aliran air memasuki kawasan runtuhan,” kata Jalaluddin.

Untuk pendekatan jangka masa pendek, pihak DBKL akan melaksanakan beberapa perkara untuk mengatasi banjir seperti menaiktaraf longkang monsun, longkang tepi jalan dan pembentung, menambah dan membesarkan saluran longkang di tepi jalan dan membina tembok banjir di kawasan rendah sepanjang sungai.

Jalaluddin berkata DBKL turut ada menetapkan syarat Perintah Pembangunan atau Development Order kepada pemaju untuk mematuhi keperluan penyediaan infrastruktur yang lengkap. – SEPATAH DUA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *