Elak bincang tentang bubar Parlimen secara terbuka demi kestabilan
2 min read
Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selama tiga hari ke Qatar yang berakhir kelmarin berjaya meningkatkan kemasukan pelaburan ke dalam negara serta berjaya mewujudkan kerjasama dua hala dalam kalangan entiti perniagaan di negara itu.
Sehingga hari ini, nilai pelaburan Qatar di Malaysia melebihi RM13.49 bilion.
Lawatan Ismail Sabri ke Ladang Lembu dan Kilang Pengeluaran Tenusu Baladna juga membolehkan satu memorandum kerjasama (MoC) yang dimeterai pada 2019 bagi untuk Baladna menjadi rakan kongsi FGV Holdings Bhd (FGV) dan Felcra Bhd dalam projek usaha sama ladang tenusu berskala besar di Malaysia untuk dimuktamadkan selewat-lewatnya Jun nanti.
“Kerjasama strategik antara Baladna, FGV dan Felcra Bhd melibatkan pelaburan sebanyak RM2.1 bilion (US$500 juta) bagi pembangunan projek tenusu berskala besar di Chuping, Perlis.
“Baladna juga bersetuju untuk menambah pelaburan sebanyak RM2.1 bilion (US$500 juta) lagi bagi pembangunan projek tenusu di Pahang.
“Pelaburan ini akan mewujudkan lebih 2,000 peluang pekerjaan dan meningkatkan daya saing industri tenusu tempatan,” katanya Perdana Menteri.
Beliau berjaya menarik pelaburan ke dalam negara walaupun keadaan politik di negara ini kelihatan tidak stabil kerana beliau mentadbir negara dengan baik dengan mengambil kira kepentingan semua pihak terutamanya kebajikan rakyat.
Kestabilan pentadbiran membolehkan negara luar mewujudkan minat untuk melabur di negara kita bertujuan menyemarakkan ekonomi dalam negara.
Oleh itu, ada keperluan untuk pihak yang berpolitik di dalam negara ini untuk mengelak dari membincangkan perkara berkaitan pembubaran Parlimen secara terbuka kerana ia boleh menyebabkan keyakinan pelabur terjejas.
Perbincangan sebegitu akan menyukarkan misi Perdana Menteri untuk membawa masuk pelaburan jika isu sebegitu terus dibicarakan secara terbuka.
Ia umpama seperti kisah masalah rumah tangga diceritakan di sana sini.
Sebelum ini, Ismail Sabri berjaya menangani masalah selepas negara dilanda banjir dan memberikan bantuan kepada rakyat yang terkesan akibat pandemik, kini beliau dalam rangka lawatan ke luar negara berjaya pula membawa masuk pelaburan berbilion ringgit ke dalam negara.
Ini satu contoh betapa beliau perlu diberikan ruang untuk terus kekal memimpin negara selepas PRU15 nanti dengan cara pentadbiran yang baik untuk kebaikan negara.
Kestabilan perlu ada untuk melicinkan perjalanan pentadbiran bagi membolehkan keputusan penting dibuat dengan betul. – SEPATAH DUA