January 30, 2023

Wau Naga Terbang Di Terengganu

1 min read

 

Karnival Usahawan Terengganu 2022 menyaksikan sekumpulan belia menerbangkan wau naga sepanjang 70 meter pada 27 Mac yang lalu. Penduduk Kampung Tok Dir dan Kampung Raja Chendering bekerjasama menaikkan wau sehingga mampu terbang dengan megah.

Muhammad Roslan Ahmad, 29, berkata, usaha menyiapkan wau naga itu mengambil masa hampir 60 hari dengan kos berjumlah RM 2,000. Ini adalah cubaan kali kedua dilakukan setelah kali pertama gagal diterbangkan.

Usaha dan kesungguhan diperlukan untuk menghasilkan wau naga itu. Ia bukanlah satu hal yang mudah, tetapi rumit dan agak leceh. Wau naga itu dibina dari tiga bahan asas iaitu gentian, buluh dan kertas. Bahagian badan naga disambung dengan buluh membolehkan wau naga itu kelihatan hidup ketika berlegar di angkasa.

Badan wau itu diperbuat daripada gentian yang dibeli dari Indonesia. Kerangka kepala pula dibuat daripada buluh.

Ianya kelihatan gagah dan hebat apabila diterbangkan di udara. Badannya yang panjang memerlukan tenaga seramai 15 orang untuk menerbangkan wau tersebut.

Bukan itu sahaja, bahkan faktor angin kuat perlu diambil kira. Kaedah menerbangkan wau dengan cara betul juga ditekankan supaya wau itu tidak terbalik dan dapat terbang dengan sempurna. Walaupun sedikit kesilapan yang dilakukan, akan menyukarkan wau itu terbang.

Permainan wau naga ialah sebuah permainan tradisional pada masa dahulu. Kini, usaha-usaha murni dilakukan bagi mengangkat semula nilai permainan tradisional ini. Antaranya, dengan menghasilkan gabungan reka baharu seperti wau naga.

Ianya bagi menarik minat generasi muda untuk mengenali permainan wau ini. Ianya juga untuk mengelakkan permainan tradisional sebegini pupus ditelan zaman. – SEPATAH DUA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *