Tips Ajari Si Kecil Anda Berpuasa
3 min read
Ramadhan sudah tiba. Pasti semua tak sabar menyambut bulan yang penuh keberkatan ini. Semua orang Islam di seluruh negara akan menjalani ibadah puasa tak kira tua atau muda. Anak anda sedang belajar untuk berpuasa? Jom ikuti tips ini.
Kita semua sedia maklum puasa adalah bulan di mana kita menahan diri dari makan, minum dan perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar sampai terbenam matahari. Jadi, anda boleh bermula melatih anak-anak berpuasa dari sekarang.
Mendidik anak kecil berpuasa bukan mudah. Macam-macam kerenah yang akan ditonjolkan anak apabila berpuasa. Namun, latihan berpuasa perlu dilakukan sejak kecil supaya anak terlatih dan tidak culas dalam berpuasa. Beberapa tips menarik dikongsikan untuk melatih anak anda berpuasa.
1. Terangkan mengenai kelebihan puasa.
Fahamkan anak dengan kelebihan puasa, sahur dan berbuka. Jangan lupa ajar anak niat berpuasa. Anda boleh baca bersama-sama dengan anak. Ceritakan juga kelebihan berpuasa kepada anak. Boleh gunakan kartun upin ipin bagi menarik mereka mendengar dan memahami.
“Upin Ipin pun puasa, kakak/abang/adik pun boleh puasa juga. Baru bagus anak ibu/anak ayah ni.”
Ha, macam tu!
2. Tidur Awal untuk bersahur
Sahur memang susah bagi anak kecil. Tambahan pula jika mereka jenis liat bangun tidur. Ibu bapa memainkan peranan untuk memastikan anak tidur awal untuk bersahur.
Waktu nak kejut sahur, panggil anak dengan elok dan pastikan makanan mereka bersesuaian. Walaupun kadang anak terkebil-kebil mengantuk depan makanan, lama-lama mereka akan terbiasa dengan rutin bersahur ini.
3. Rancang aktiviti anak
Puasa di siang hari bukan mudah, terutama bagi kanak-kanak yang aktif dan suka bergerak. Ibu bapa boleh rancang aktiviti anak yang tidak penat sehingga membuatkan mereka tak larat berpuasa.
Elakkan aktiviti yang mengeluarkan peluh seperti berlari-lari dan berpusing satu rumah. Ajak mereka duduk dan buat aktiviti bersama. Mereka boleh melukis, mewarna, main lego dan sebagainya. Aktiviti sebegini membuatkan anak kurang penat dan terleka bahawa dia sedang berpuasa. Sedar-sedar, waktu dah nak berbuka.
4. Jangan nampakkan makanan kegemaran anak
Anak-anak memang sukakan makanan. Sila sorok makanan kegemaran anak anda siap-siap. Bila dah berbuka, boleh bagi pada anak sebagai ganjaran berpuasa.
5. Latihan berperingkat
Sekiranya anak anda berpuasa separuh hari pun dah okay. Permulaan yang cukup bagus. Anda juga boleh suruh mereka berbuka seketika; makan dan minum untuk mengisi perut yang kosong dan sambung puasa semula. Mereka akan terdidik untuk menahan lapar dan dahaga berperingkat sampailah mereka puasa satu hari dengan jayanya.
6. Buatkan makanan berbuka kegemaran anak
Waktu berbuka adalah waktu yang dinantikan semua orang. Setelah penat berpuasa, anda boleh hidangkan makanan dan minuman kegemaran anak-anak. Menu berbuka yang menyelerakan pasti menarik minat mereka untuk terus berpuasa selepas ini.
7. Beri ganjaran kepada anak
Kalau anak anda berpuasa separuh hari atau penuh satu hari, berikan pujian, galakan dan dorongan kepada mereka. Walaupun kadang hanya mampu sekerat jalan, mereka tetap ada usaha untuk berpuasa. Mereka boleh cuba pada hari yang seterusnya.
Anda juga boleh jadikan duit raya atau hadiah, percutian dan makanan sebagai ganjaran bagi anak-anak yang berpuasa. Minda mereka akan terlatih. Apabila inginkan sesuatu, kena buat sampai jadi.
Anak-anak yang sudah terbiasa dengan puasa pasti akan seronok berpuasa bersama seisi keluarga dan rakan-rakan. Kemeriahan Ramadhan juga akan dirasai bersama. Jadi, jangan lupa latih anak anda berpuasa! – SEPATAH DUA