January 30, 2023

Peniaga makanan dinasihat sediakan makanan yang segar, bersih dan selamat

1 min read

Para peniaga makanan di Wilayah Persekutuan ketika bulan Ramadan dipesan agar menyediakan makanan yang segar, bersih dan selamat mengikut piawaian yang ditetapkan untuk mengekalkan imej sebagai ‘Syurga Makanan’.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata para peniaga semua perlu peka terhadap keselamatan makanan dan minuman terutamanya sepanjang bulan keberkatan ini.

“Apatah lagi bagi makanan berisiko tinggi yang berasaskan santan, daging dan telur.

“Pada saya, penyediaan makanan melibatkan bahan-bahan sebegini perlu disediakan dengan sehabis baik dan tidak boleh ada sebarang proses ‘kitar semula’ makanan yang tidak habis dijual,” katanya dalam satu hantaran beliau di laman Facebook.

Beliau berkata para peniaga dan pembeli adalah rakyat yang masing-masing perlu diraikan dengan penuh harmoni.

Menurutnya, peniaga mahu melariskan perniagaan mereka manakala pembeli pula mahu membeli sesuaty yang difikirkan berbaloi untuk mereka perolehi.

“Maka, sama-samalah kita saling jaga menjaga antara satu sama lain. Jaga kualiti makanan dan minuman yang dijual.

“Jaga SOP ketika masuk ke bazar-bazar Ramadhan yang ada. Jaga corak pemakanan kita terutama semasa berbuka puasa,” katanya.

Jalaluddin turut mendoakan urus niaga para peniaga makanan dilimpahi dengan rezeki dengan keberkataan.

Katanya, juada yang dijual di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan memiliki keenakan dan kualitinya yang tersendiri sehingga ia mampu menggamit selera orang ramai termasuk para pelancong antarabangsa untuk menikmatinya. – SEPATAH DUA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *