Rumah halimunan wujud di London
2 min read
Mesti anda pernah dengar perkataan halimunan, kan? Ianya wujud tetapi tidak dapat dilihat dengan mata. Di London, terdapat sebuah rumah halimunan yang terletak di kejiranan Richmond.
Dinding rumah itu diliputi dengan cermin kaca gergasi dan memantulkan objek di persekitaran. Rumah itu selalunya tidak disedari oleh orang yang lalu lalang di sana. Rumah halimunan ini terletak di jalan A316 dan berhampiran bulatan Richmond Circus serta keretapi bawah tanah Richmond.
Konsep rumah halimunan diilham dan direka oleh seorang arkitek, Alex Haw pada tahun 2015. Alex membawa idea rumah kaca gergasi yang memantulkan objek persekitaran. Pokok-pokok, pejalan kaki, jalan dan awan-awan putih turut dilihat terpancar pada dinding kaca rumah.
Menurut pemilik kediaman, idea rumah halimunan sangat menarik dan unik. Cermin kaca itu berkonsepkan pemandangan satu hala. Pejalan kaki tidak dapat melihat ruang dalam rumah, tetapi penghuninya boleh melihat pemandangan luar dengan jelas dan sempurna.
Kadang aksi pejalan kaki agak melucukan apabila berhenti di depan rumah. Mereka merapikan rambut dan membetulkan pakaian yang dipakai apabila melihat cermin kaca rumah halimunan itu.
Pemilik rumah yang tidak mahu identitinya dikenali begitu menyukai konsep rumah yang dipilih oleh Alex. Setelah siap dibina, rumah halimunan mula didiami pada tahun 2019. Walaupun halaman depan rumah itu dilitupi dinding kaca gergasi, laman belakang rumah tetap mengekalkan corak seni bina Victoria.
Foto rumah halimunan itu pernah tular di laman ‘Reddit’ dan ia menimbulkan pelbagai persoalan di minda penguna Reddit. Antaranya, betapa banyak masa yang diperlukan bagi menyiapkan cermin kaca gergasi dan bagaimana dengan proses pembersihannya?
Ada juga pengakuan dari kalangan penduduk setempat yang selalu menggunakan laluan itu, namun, tidak pernah perasan akan kewujudan rumah halimunan.
Pengguna Reddit turut melakukan beberapa kajian mengenai rumah kaca halimunan itu, tetapi tidak dapat disingkap rahsia disebalik pembinaan rumah itu. Bahan-bahan apakah yang diguna pakai untuk menjadikan ia kekal tersorok dari pandangan mata?
Walaupun begitu, mereka tetap kagum dengan keunikan rumah tersebut. Sesungguhnya, idea rumah halimunan ini sudah menjadi realiti. – SEPATAH DUA