January 30, 2023

Langkah kerajaan larang kenderaan mikromobiliti atas jalan raya tepat

2 min read

Seorang lelaki menggunakan kenderaan jenis skuter elektrik di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Tindakan kerajaan melalui larangan penggunaan kenderaan mikromobiliti di atas jalan raya yang berkuatkuas serta-merta adalah amat tepat.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dalam satu kenyataan hari ini berkata larangan yang dibuat mengikut Kaedah-Kaedah Lalu Lintas (Larangan Penggunaan Kenderaan Mobiliti Tertentu) 2021 itu bertujuan menghindari dari bahaya kepada pengguna.

“Antara kawasan yang memiliki kadar penggunaan tinggi terhadap kenderaan mikromobiliti ini adalah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Di Putrajaya dan Labuan juga tidak terkecuali, ramai yang memilih menggunakan kenderaan jenis Moped (mempunyai 2/3 roda dengan punca kuasa dari sumber elektrik) untuk bergerak ke tempat kerja dan lain-lain destinasi,” katanya di laman sosial Facebooknya hari ini.

Beliau berkata dengan keadaan jalan raya yang sering mengalami kadar penggunaan yang tinggi saban hari, maka kenderaan sebegini mampu menjemput risiko kemalangan di jalan raya.

“Tindakan ini bukanlah tanda tidak menyokong penggunaan kenderaan jenis tersebut, namun ia bertujuan menyelamatkan nyawa para pengguna secara keseluruhannya.

“Untuk membentuk keadaan yang seimbang, saya pohon Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di tiga Wilayah Persekutuan untuk membuat kajian terperinci cadangan menyediakan kemudahan infrastruktur jalan bagi menyokong penggunaan kenderaan jenis tersebut,” katanya.

Jalaluddin berkata sekiranya bersesuaian, mungkin jalan alternatif khas perlu diwujudkan buat semua pengguna kenderaan Mikromobiliti, sepertimana kita membentuk laluan khas untuk motosikal, basikal dan pejalan kaki.

“Ia memerlukan kajian menyeluruh terlebih dahulu sebelum cadangan tersebut diimplementasi di Wilayah Persekutuan.

“Akhirnya, saya berharap para pengguna jalan raya di Wilayah Persekutuan untuk terus mengamalkan sikap berhemah dan kekal mematuhi peraturan jalan raya demi kesejahteraan bersama,” ujar beliau.

Semalam, Kementerian Pengangkutan mengumumkan larangan berkenaan yang membabitkan tiga kenderaan mikromobiliti iaitu moped, Personal Mobiliti Devices (PMD) iaitu skuter berkuasa elektrik, kuasa enjin pembakaran dalaman atau pun kuasa manusia yang mempunyai kelajuan maksimum 50 kilometer sejam serta Personal Mobiliti Aids (PMA).

Perkara itu diumumkan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. – SEPATAH DUA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *